Tahun 2024 berlalu menyaksikan beberapa rancangan perolehan pertahanan negara dilaksanakan mengikut sepertimana dirancang kerajaan.
Walaupun rentak pembelian kelengkapan ketenteraan ini masih perlahan, namun setidak-tidaknya ia menunjukkan komitmen kerajaan.
Fokus utama pastinya pembelian 3 kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 dari Turkiye.
Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Jun menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian kapal tersebut kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).
Projek dijangka mengambil masa 3 tahun setengah untuk disiapkan dan Malaysia bakal menerima kesemua kapal pada akhir 2027.
Perancangan Kertas Putih Pertahanan menggariskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mempunyai 18 LMS.
Ini bagi mengawal perairan sempadan negara yang terdiri empat perairan iaitu Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi, Laut Selat Melaka dan Laut Sulu.
Bermakna selepas ini kerajaan perlu meneruskan pembelian seterusnya kapal-kapal LMS sama ada masih mengikut rekaan Turkiye atau reka bentuk lain.
Kerajaan perlu memberi keutamaan dalam hal ini tanpa perlu mengambil kira siapnya projek kapal tempur pesisir (LCS) kerana pembelian LMS adalah bagi keperluan berbeza.
Isu kekurangan aset helikopter yang dihadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga diatasi apabila kerajaan memeterai kontrak 28 buah helikopter secara sewaan.
Selain ATM, pesawat-pesawat ini turut dibekalkan kepada agensi keselamatan lain.
Bagaimana pun, keputusan kerajaan untuk menyewa helikopter selama 15 tahun dengan nilai RM16.5 bilion ini menimbulkan kontroversi berikutan ia mendapat reaksi yang pelbagai.
Keperluan helikopter utiliti pelbagai peranan disifatkan sangat perlu, bukan sahaja oleh ATM tetapi juga Polis Diraja Malaysia, Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ini kerana setiap agensi mempunyai penggunaan yang berbeza.
Bagi Tentera Darat pula, tahun 2024 menyaksikan pasukan itu menerima suntikan dengan penerimaan aset-aset baharu.
Paling ketara ialah pembelian beberapa senjata antikereta kebal berbeza.
Telah diterima ialah senjata Carl Gustaf 84mm M4 buatan Sweden dan sistem pelancar peluru berpandu NLAW yang dibangunkan oleh syarikat Saab Bofors Dynamics dan Thales Air Defence.
NLAW mempunyai reputasi tinggi kerana kejayaan penggunaan dalam perang di Ukraine memusnahkan beberapa kereta kebal Rusia.
Malaysia dikatakan menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara memiliki sistem NLAW.
Satu lagi senjata antikereta kebal yang telah dibeli ATM ialah Karok buatan Türkiye.
Kontinjen Batalion Malaysia (Malbatt) di Lebanon pula telah menerima 20 buah kenderaan perisai Panthera 4x4 APC yang bernilai RM190 juta pada awal Januari 2024.
Kenderaan buatan Türkiye ini bagi menggantikan sebahagian Radpanzer Condor yang berusia 40 tahun.
Bagaimana pun, terdapat rancangan perolehan ATM yang telah diumumkan tetapi masih belum dimuktamadkan secara rasmi.
Ia melibatkan 60 kereta perisai infantri, 50 buah High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) dan 6 Hovercraft Integrated Fast Interceptor.
Begitu juga rancangan penggantian Radpanzer Condor dan Sibmas yang sebelum ini telah diumumkan pada 2022 lalu. Faktor kos dikatakan antara sebab perkara tersebut tertangguh.
Sehingga berakhirnya tahun 2024 juga, hasrat menyaksikan kerajaan memuktamadkan pembelian sistem meriam mudah gerak (SPH) terus menjadi teka teki.
Dua calon yang disebut-sebut sebelum ini ialah meriam EVA 155mm buatan Konstrukta Defence dari Slovakia dan Caesar 155mm buatan Perancis.
Persaingan mendapatkan kontrak SPH ini unik kerana telah berlalu perubahan ‘calon’ akhir apabila pertukaran kepimpinan kerajaan kerana sebelumnya meriam Yavuz 155mm dari Turkiye dikatakan pilihan pada tahun 2022.
Bagaimana pun, dalam persaingan ini meriam SPH Caesar merupakan calon paling lama setelah pertama kali diperkenalkan kepada ATM pada 1997.
Tahun 2024 juga menempa duka apabila hasrat Tentera Darat untuk menjadi pengguna baharu helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk tidak kesampaian.
Kerajaan membatalkan kontrak sewaan ini selepas syarikat tempatan yang diberikan tanggungjawab gagal menghantar pesawat-pesawat tersebut.
Memasuki tahun 2025, kerajaan diharap meneruskan momentum memuktamadkan pembelian baharu termasuk menambah bilangan aset-aset yang diperlukan. - DagangNews.com