KUALA LUMPUR 9 Okt - Saham Crest Group Bhd membuat penampilang sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 39.5 sen, atau 13% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada 35sen seunit.
Saham itu naik kepada setinggi 40 sen sebelum susut ke paras rendah 36.5 sen. Kaunter itu didagangkan pada 37 sen pada 9.10 pagi, selepas lebih 42 juta saham bertukar tangan.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka berjaya memperoleh sejumlah RM45.75 juta melalui terbitan awam 130,705,300 saham biasa baharu berharga 35 sen sesaham.
Daripada jumlah hasil yang diperoleh, kumpulan itu memperuntukkan 34.5% atau RM15.76 juta untuk penubuhan ibu pejabat berpusat baharu, dan 31.7% atau RM14.52 juta untuk pengembangan perniagaan.
Selain itu, 12.8% atau RM5.87 juta diperuntukkan untuk pembelian peralatan demonstrasi tambahan.
Kumpulan itu juga memperuntukkan 7.9% atau RM3.6 juta diperuntukkan untuk pengembangan pasukan sokongan teknikal dan penyelenggaraan, dengan baki 13.1% atau RM6 juta digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengerusi Crest Group, Ahmad Tajudin Omar berkata, pihaknya komited menyediakan rumusan pengimejan, analisis dan ujian yang penting kepada pelbagai industri, termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik, automotif dan penjagaan kesihatan.
Sejak penubuhan pada 1999, kumpulan itu telah berkembang ke China, Singapura dan Thailand, didorong oleh model perniagaan yang kukuh dan perkongsian yang dipercayai dengan pembekal global.
"Pengalaman industri pasukan pengurusan kami yang luas telah menjadi kunci kepada pertumbuhan kami, membimbing kami melalui cabaran dan meletakkan kami untuk berjaya.
"Selaras dengan strategi pertumbuhan, kami merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan termasuk operasi baharu di Vietnam, sambil meningkatkan perkhidmatan sokongan teknikal dan penyelenggaraan.
"Dengan penggunaan IoT (internet kebendaan) dan Industri 4.0 yang semakin meningkat, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan kami, disokong oleh inisiatif kerajaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan aeroangkasa," katanya.
MIDF Amanah Investment merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO Crest.- DagangNews.com