Pendapatan Dayang pada 4QFY24 mungkin lebih kukuh didorong peningkatan kadar penggunaan kapal, kata Phillip Capital | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Dayang pada 4QFY24 mungkin lebih kukuh didorong peningkatan kadar penggunaan kapal, kata Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pendapatan suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) Dayang Enterprise Holdings Bhd mungkin lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya, didorong pesanan kerja keseluruhan yang lebih tinggi, peningkatan kadar penggunaan kapal dan kadar sewa harian yang lebih baik.

 

Phillip Capital berkata, penggunaan kapal kumpulan itu pada 4QFY24 lebih tinggi daripada 58% yang dicatatkan pada 4QFY23.

 

Katanya, ia disebabkan keperluan bagi melengkapkan pesanan kerja sebelum tamat tempoh kontrak sambungan dan pentauliahan, serta penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) sebelumnya pada Disember 2024.

 

“Dengan kemenangan kontrak baru-baru ini memacu buku pesanan tertinggi, kami kekal positif pada unjuran pendapatan 2025.

 

“Pemeriksaan kami di lapangan menunjukkan aktiviti Dayang kekal kukuh. Perkara utama ialah nilai buku pesanan yang lebih besar daripada jangkaan sebanyak RM6.2 bilion (berbanding anggaran awal sebanyak RM5.2 bilion), boleh memacu peningkatan kepada ramalan pendapatan kami,” kata firma penyelidikan itu.

 

Phillip Capital berkata, Dayang menjadi penerima utama kontrak Pan Malaysia MCM Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terkini, menyumbang 80% daripada buku pesanan semasa.

 

“Pengurusan memberi petunjuk bahawa tiada tanda-tanda kelembapan dalam perintah kerja walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan pemotongan perbelanjaan modal daripada Petronas," katanya.

 

Sebagai sebuah syarikat berpangkalan di Sarawak, firma penyelidikan itu berkata, Dayang akan menjadi antara penerima manfaat utama di bawah Petroleum Sarawak Bhd (Petros), yang telah dilantik sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak sejak Februari tahun lepas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan untuk kapal luar pesisir kekal sihat untuk perniagaan marin, dengan kadar penggunaan tinggi untuk kapal milik Dayang dan Perdana Petroleum Bhd.

 

“Pengurusan menjangkakan kenaikan 4% hingga 5% dalam kadar sewa, disebabkan kekurangan bekalan kapal yang berterusan, yang akan mengukuhkan lagi margin," katanya.

 

Phillip Capital mengekalkan penarafan "beli" dengan harga sasaran RM4.50 sesaham. - DagangNews.com