Pendapatan sektor korporat diramal menyederhana pada separuh pertama 2025 - Affin Hwang Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan sektor korporat diramal menyederhana pada separuh pertama 2025 - Affin Hwang Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - Affin Hwang Investment Bank Research meramalkan pertumbuhan pendapatan korporat menyaksikan trajektori perkembangan sederhana pada separuh pertama 2025.

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan pasaran, berdasarkan 103 saham di bawah liputan mereka, sebanyak 8.3% pada 2025, walaupun asas pertumbuhan tinggi 13.7% pada 2024

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pendapatan akan dipacu oleh peningkatan perbelanjaan penggunaan swasta dengan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan kenaikan tarif elektrik yang ditangguhkan hingga pertengahan 2025.

 

"Projek pembinaan baharu termasuk kilang semikonduktor dan pusat data serta peningkatan permintaan hartanah terutamanya untuk hab industri dijangka meningkatkan pendapatan korporat.

 

"Sementara itu, syarikat perladangan berkemungkinan memperoleh pendapatan yang lebih baik dengan harga minyak sawit mentah kekal tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagi bank pula, firma penyelidikan itu berkata, peningkatan pendapatan bukan faedah dan pendapatan berasaskan dana akan menjadi pemacu pendapatan dengan RHB Bank Bhd berpotensi meraih durian runtuh daripada pembaharuan dua perjanjian bankasurans yang akan datang.

 

Affin Hwang Research mengekalkan saranan "market overweight" untuk bursa tempatan dengan sasaran akhir tahun yang tidak berubah sebanyak 1,850.

 

“Pandangan positif kami adalah pada jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan korporat yang kukuh, nilai ringgit, peningkatan pelaburan langsung asing dan aliran masuk dana portfolio asing,” tambah firma penyelidikan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dana asing kekal sebagai penjual bersih pada Disember 2024, meningkatkan kedudukan jualan bersih kepada AS$957 juta pada 2024; 86% lebih tinggi daripada kedudukan jualan bersih sebanyak AS$514 juta pada 2023.

 

"Dana domestik terus menyokong pasaran untuk menaikkan FBM KLCI kepada ditutup pada 1,642.33, yang berada dalam jangkaan kami," katanya.

 

Pembelian bersih oleh institusi tempatan berjumlah RM3.96 bilion pada Disember 2024 (kadar penyertaan 17.7%) berbanding jualan bersih sebanyak RM2.89 bilion oleh institusi asing (kadar penyertaan 38.8%).

 

Syarikat penyelidikan itu juga mengekalkan saranan "overweight" kepada 10 daripada 20 sektor di bawah liputan mereka yang mewakili 65% daripada jumlah permodalan pasaran.

 

“Kami melaraskan harga sasaran (TP) Gamuda Bhd kepada RM5.50 (RM11 sebelum ini) bagi mencerminkan penyelesaian terbitan bonus satu untuk satu. 

 

"Kami menjangkakan Gamuda akan mendapatkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang tidak lama lagi,” katanya. - DagangNews.com