Penerbangan tertunda: Tune Protect perkenal Delay Lounge Pass kepada pelanggan Insurans Perjalanan AirAsia | DagangNews Skip to main content

Penerbangan tertunda: Tune Protect perkenal Delay Lounge Pass kepada pelanggan Insurans Perjalanan AirAsia

Gambar: Tune Protect
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Tune Protect Group Bhd melancarkan Delay Lounge Pass kepada pelanggan Insurans Perjalanan AirAsia yang menyediakan akses kepada lebih 1,500 ruang istirahat lapangan terbang di seluruh dunia apabila penerbangan tertunda selama dua jam atau lebih.

 

Kumpulan itu berkata, Delay Lounge Pass tersedia secara eksklusif untuk pelanggan yang membeli atau memilih sama ada untuk salah satu pelan Insurans Perjalanan AirAsia, termasuk Pek Nilai, Premium Flex, dan AirAsia Plus untuk penerbangan yang berlepas atau tiba di Malaysia dan Thailand.

 

 

Menerusi pas itu, pelanggan bukan sahaja menerima pampasan kewangan akibat penerbangan tertunda yang merupakan sebahagian daripada perlindungan Insurans Perjalanan AirAsia, mereka juga diberi pampasan dengan kemudahan serta keselesaan ruang istirahat lapangan terbang untuk memanfaatkan masa menunggu sepenuhnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, kelewatan perjalanan merupakan perkara yang tidak diigini dan pihaknya memahami cabaran itu apabila melancong bersama keluarga besar atau jadual yang padat terutama semasa musim puncak seperti hujung tahun.

 

Beliau berkata, inisiatif terbaharu itu menggariskan komitmen Tune Protect dalam menyampaikan rumusan inovatif dan mengutamakan pelanggan untuk mengembara.

 

tune protect
How Kim Lian

 

"Gabungan produk dan perkhidmatan teras dengan cadangan pengalaman adalah perkara biasa dalam industri lain, dan apa yang kami lakukan sekarang ialah mengguna pakai amalan terbaik ini ke dalam industri insurans untuk menjadikannya lebih menarik untuk kumpulan sasaran.

 

"Insurans perjalanan kami bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan pelanggan, dan penawaran akses ruang istirhat lapangan terbang adalah permulaan untuk mencapai aspirasi kami, iaitu untuk menjadi pemain yang relevan dalam ekosistem perjalanan di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sekiranya penerbangan itu tertangguh, tetapi pelanggan tidak menggunakan baucar yang dikeluarkan, ia masih sah untuk kegunaan sekali sahaja dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengeluaran di mana-mana daripada 1,500 ruang istirahat lapangan terbang di seluruh dunia.

 

Baucar Delay Lounge Pass diberikan secara unik kepada pengembara berdaftar dan tidak boleh dipindah milik.

 

Pelanggan yang membeli mana-mana pelan Insurans Perjalanan AirAsia (Pek Nilai, Premium Flex, dan AirAsia Plus) untuk rakan perjalanan mereka mesti memastikan setiap tetamu didaftarkan dengan tepat untuk memastikan pengalaman yang lancar.

 

tune protect

 

Selain Delay Lounge Pass, Tune Protect juga telah mempertingkatkan ciri insurans perjalanannya dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia dengan memperkenalkan TravelFlex Lite, yang merupakan faedah pembatalan yang fleksibel disebabkan keadaan yang tidak dijangka .

 

Manfaat TravelFlex Lite membayar balik kos tiket penerbangan sehingga RM500 jika pelanggan tidak dapat melakukan perjalanan. Ciri utama lain bagi pelan Insurans Perjalanan AirAsia ialah Jaminan Tepat Masa yang membayar balik RM100 untuk kelewatan 2 jam; dan Kelewatan Bagasi yang membayar balik RM120 untuk setiap kelewatan 6 jam, sehingga RM360.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Delay Lounge Pass dan pelan Insurans Perjalanan AirAsia, termasuk terma dan syarat, sila layari https://delayloungepass.tuneprotect.com/airasia dan https://www.tuneprotect.com/airasia/AABundlePackage- DagangNews.com