KUALA LUMPUR 27 Nov - Semakan penarafan Maybank Banking Bhd dijangka sekurang-kurangnya menaik satu taraf berikutan keputusan suku ketiganya yang memenuhi jangkaan, kata penganalisis.
Phillip Capital menyemak naik penarafan Maybank kepada "beli" daripada "pegang" didorong penarikan semula harga sahamnya baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan harga sasaran (TP) yang diperolehi daripada Model Pertumbuhan Gordon (GGM) sebanyak RM11.40 ke atas saham, membayangkan nilai harga-ke-buku 1.37 kali ganda 2025.
"TP yang ditetapkan adalah wajar berdasarkan pulangan ke atas ekuiti (ROE), aset yang lebih baik dan hasil dividen 2025 yang menarik sebanyak 6%.
"Walaubagaimanapun, kami menjangkakan risiko utama terhadap saranan Maybank termasuk pemampatan margin faedah bersih (NIM) berterusan, kualiti aset yang semakin merosot dan persaingan deposit yang sengit," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Maybank melaporkan keuntungan bersih pada suku ketiga 2024 (3QFY24) sebanyak RM2.5 bilion, iaitu naik 0.3% suku ke suku (QoQ) dan 8% tahun ke tahun (YoY), menjadikan jumlah untung bersih bagi tempoh sembilan bulan 2024 (9MFY24) kepada RM7.6 bilion.
Phillip Capital berkata, keseluruhan keputusan Maybank sejajar dengan anggaran tahunan dan konsensusnya masing-masing pada 76% dan 75%.
"Kami menjangkakan 4Q2024 yang lebih lemah akibat persaingan deposit bermusim, yang boleh memampatkan lagi NIM dan mengurangkan pendapatan bukan faedah," katanya.
Dalam nota berasingan, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas Maybank dan menaikkan TP Maybank daripada RM11.85 kepada RM12.15 sesaham.
Penilaiannya adalah berdasarkan nilai harga-ke-buku (PBV) kira-kira 1.46 kali berdasarkan GGM dan premium persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.
Ia juga melaraskan unjuran pendapatannya agar sejajar dengan prestasi keputusan 9MFY24 Maybank.
TA Securities menaikkan unjuran keuntungan bersih FY24 Maybank kepada RM9.96 bilion daripada RM9.54 bilion, RM10.54 bilion daripada RM9.91 bilion bagi FY25 dan dijangka menjana RM11.06 bilion daripada RM10.47 bilion pada FY26.- DagangNews.com