KUALA LUMPUR 8 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran keuntungan bersih Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) sebanyak 3.9% disokong strategi pengekalan penyewa sedia ada di dalam portfolio kumpulan.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan perbelanjaan operasi Sentral REIT akan menjadi lebih rendah.
Katanya, kumpulan itu juga akan meneruskan langkah-langkah penambahbaikan berterusan untuk bangunan sedia ada bagi memacu pertumbuhan organik.
"Untuk keseluruhan portfolionya, kami memahami bahawa Sentral REIT tidak menolak potensi mempelbagaikan hartanahnya dan terus meneroka strategi pemerolehan akreatif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan hartanah bersih 3QFY24 Sentral REIT meningkat 25% kepada RM37.6 juta
Terdahulu, untung bersih 3QFY24 kumpulan adalah RM20.5 juta,menjadikan keuntungan bersih 9MFY24 kepada RM60.9 juta dan menyumbang 78%/74% daripada anggaran tahun penuh/konsensus.
Pertumbuhan pendapatan pada 3QFY24 dipacu oleh Menara CelcomDigi selepas aset itu didapatkan pada 11 Disember 2023, dan penyewaan baharu di Bangunan Sentral 4 mulai Januari 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, ia diimbangi sebahagiannya daripada penyewaan lebih rendah di Menara Shell pada kadar 82% disebabkan penyewa tidak diperbaharui.
Dari suku tahun ke suku tahun, penyusutan pendapatan itu disebabkan oleh penyewaan AmGeneral di Menara Shell yang tamat tempoh pada 31 Mei 2024.
"Kadar penghunian keseluruhan 3QFY24 adalah stabil dari suku tahun ke suku tahun pada 84%.
"Margin NPI 3Q24 juga meningkat kepada 78.3% disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih rendah yang ditanggung untuk beberapa hartanah di bawah portfolio Sentral REIT," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 89 sen sesaham.- DagangNews.com