Untung bersih Maxis pada 3QFY24 naik 27.5% kepada RM366 juta disokong pertambahan pelanggan, perbelanjaan rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Maxis pada 3QFY24 naik 27.5% kepada RM366 juta disokong pertambahan pelanggan, perbelanjaan rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Untung bersih Maxis Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) meningkat sebanyak 27.5% kepada RM366 juta berbanding RM287 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong pendaftaran lebih ramai pelanggan dengan perbelanjaan lebih rendah.

 

Kumpulan itu juga berjaya mengurangkan perbelanjaan modalnya hampir 35% dari tahun ke tahun selain penurunan kos kakitangan. 

 

Katanya, hasil bagi suku tersebut juga meningkat 5.5% kepada RM2.58 bilion berbanding RM2.44 bilion.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pihaknya berada di landasan terbaik untuk menutup tahun ini dengan prestasi cemerlang engan tumpuan kepada penyediaan pengalaman kesalinghubungan yang terbaik.

 

"Ia adalah selaras dengan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan melalui produk serta perkhidmatan bertaraf tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, perniagaan pengguna Maxis mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9% dalam hasil perkhidmatan, dengan pertumbuhan merentas segmen-segmen Mudah Alih dan Kediaman. 

 

Pengguna mudah alih, termasuk pascabayar dan prabayar, mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 2.1% seiring dengan pertumbuhan pelanggan yang stabil sebanyak 3.8%. 

 

"Maxis terus menyediakan tawaran nilai menarik yang disesuaikan kepada segmen yang berbeza. Ini termasuk tawaran-tawaran untuk migrasi prabayar ke pascabayar serta penawaran yang disesuaikan sepadan dengan kitaran hayat pelanggan. 

 

"Mereka juga menyediakan kelajuan yang lebih pantas dan kuota data yang dinaik taraf untuk memenuhi penggunaan data pelanggan yang semakin meningkat, dan telah mengalihkan semua pelanggan kepada 5G," katanya.

 

Segmen kediaman mencatatkan peningkatan 8.7% dalam hasil perkhidmatan, dengan pertumbuhan yang didorong oleh langganan jalur lebar. 

 

"Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu sebenar, Maxis menawarkan pakej dan tawaran jalur lebar, mudah alih serta peranti yang menarik untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan," katanya.- DagangNews.com