Pengeluar plastik berpangkalan di Shah Alam, WF Holding failkan penyenaraian di Nasdaq, sasar kumpul RM42 juta | DagangNews Skip to main content

Pengeluar plastik berpangkalan di Shah Alam, WF Holding failkan penyenaraian di Nasdaq, sasar kumpul RM42 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - Pengeluar plastik bertetulang gentian kaca berpangkalan di Shah Alam, WF Holding Ltd memfailkan penyenaraian di Nasdaq bagi mengumpul sehingga AS$10 juta (RM42 juta) menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Amerika Syarikat (AS).

 

Syarikat itu memfailkan penyenaraian itu kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS untuk IPO pada hari Isnin, bagi mengumpul dana untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya, mengembangkan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya dan membiayai modal kerjanya.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam dua juta saham baharu pada harga antara AS$4 (RM16.80) dan AS$6 (RM25.20) sesaham, mewakili sehingga 8% daripada asas sahamnya yang diperbesarkan.

 

Pada titik tengah julat harga IPO yang dicadangkan, WF Holding akan menguasai permodalan pasaran sebanyak AS$124.75 juta (RM523.95 juta).

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, ia merancang untuk mendapatkan satu lagi kilang seluas 0.8 hektar dengan ruang pengeluaran sekitar 40,000 kaki, yang akan "meningkatkan kapasiti lantai pengeluaran semasa sebanyak 150%."

 

"Kami juga merancang untuk meningkatkan tenaga kerja kami dengan menambah 50 pekerja baharu," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif WF Holding Lew Chee Hoong dan abangnya, Lew Chee Seong memegang 74.96% kepentingan dalam syarikat itu melalui Lew Capital Private Ltd.

 

Ibu mereka, Lim Yew Chean, memegang 5.88% lagi pegangan dalam WF Holding melalui LYC Capital Private Ltd.

 

Antara mereka dalam lembaga pengarah WF Holding termasuk pengarah bebas Datuk Lua Choon Hann, yang juga Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG holdings Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia serta bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong.

 

Anak syarikat milik penuh WF Holding Win-Fung Fiberglass Sdn Bhd telah diperbadankan di Malaysia pada 28 Mac 1984.

 

Syarikat itu telah mengeluarkan produk plastik bertetulang gentian kaca selama tiga dekad, memenuhi keperluan industri seperti pemprosesan kimia, rawatan air dan air sisa, dan penjanaan kuasa.

 

Produk itu termasuk filamen dan tangki acuan, tangki termoplastik, produk pelapik, produk salur dan pemasangan, peralatan kawalan pencemaran udara dan produk buatan tersuai. Ia juga menawarkan perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan untuk produknya.

 

WF Holding diperbadankan sebagai syarikat dikecualikan Kepulauan Cayman pada 7 Mac 2023. Win-Fung menjadi anak syarikat milik penuh WF Holding selepas kedua-dua pihak menyelesaikan penyusunan semula korporat pada 21 Jun 2023, kata kenyataan itu. - DagangNews.com