Pengeluaran getah asli Malaysia susut 13.9% kepada 30,929 tan pada September 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia susut 13.9% kepada 30,929 tan pada September 2024 - DOSM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov - Pengeluaran getah asli Malaysia menyusut 13.9% kepada 30,929 tan pada September 2024 daripada 35,908 tan pada Ogos 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Perbandingan tahun ke tahun (YoY) menunjukkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 5.6% daripada 32,757 tan pada September 2023.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2024 disumbang oleh sektor pekebun kecil iaitu pada 85.9% berbanding sektor estet pada 14.1%.

 

"Jumlah stok getah asli pada September 2024 menurun 1.6% kepada 130,608 tan daripada 132,755 tan pada Ogos 2024.

 

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.6% diikuti kilang pengguna getah sebanyak 11.2% dan estet getah sebanyak 0.2%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, eksport getah asli mencatat jumlah 39,915 tan pada September 2024, menguncup 30.6% berbanding Ogos 2024 iaitu pada 57,482 tan, akibat pengeluaran produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

 

DOSM_getah

 

DOSM berkata, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 32.1% daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2024 diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.6%), Jerman (11.7%), Amerika Syarikat (6.6%) dan Portugal sebanyak 5.3%.

 

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.2 bilion pada September 2024, menurun 23.0% daripada Ogos 2024 iaitu sebanyak RM1.6 bilion,” katanya.

 

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran September 2024, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan aliran meningkat dengan harga SMR 20 turun naik dalam julat yang kecil.

 

“Sentimen positif dipacu oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terhad kerana ramalan cuaca yang tidak menentu di negara pengeluar utama.

 

“Keyakinan global juga meningkat selepas pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang ketara dan langkah rangsangan China,” katanya. - DagangNews.com