KUALA LUMPUR 6 Jan - Pengendali rangkaian kafe berkonsepkan kedai kopi Hainan, Oriental Kopi Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM184 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Januari 2025.
Syarikat itu berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 418.1 juta saham biasa baru pada harga 44 sen sesaham.
Sejak penubuhannya pada Disember 2020, Oriental Kopi telah menubuhkan rangkaian 19 kafe yang dimiliki dan dikendalikan di Malaysia dan 1 kafe yang dimiliki dan dikendalikan bersama di Singapura.
Menurut prospektus yang dilancarkan hari ini, kumpulan itu merancang untuk memperuntukkan 29.2% atau RM53.69 juta hasil IPO bagi penubuhan kemudahan operasi baharu di Puchong, Selangor, termasuk ibu pejabat, dapur pusat dan gudang.
Kemudahan itu, berkeluasan kira-kira 108,448 kaki persegi, bertujuan memusatkan fungsi pengurusan, mengoptimumkan operasi makanan dan minuman, serta meningkatkan keupayaan penyimpanan dan pengedaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Oriental Kopi bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia
Selain itu, Oriental Kopi merancang mengembangkan rangkaian kafenya di Malaysia menggunakan 19.8% atau RM36.4 juta daripada dananya dan 2.7% lagi atau RM5 juta untuk mengembangkan segmen makanan bungkus.
Sementara itu, 41.2% atau RM75.78 juta daripada kutipan akan digunakan untuk modal kerja, 3% atau RM5.5 juta dikhususkan untuk aktiviti pemasaran di luar negara dan terakhir 4.1% atau RM7.6 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Chan Jian Chern berkata, sejak pembukaan kafe pertama, pihaknya berhasrat membina reputasi cemerlang bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan berkualiti.
"Dana yang diperoleh akan bertindak sebagai pemangkin untuk mengukuhkan kehadiran pasaran kami dan memacu pertumbuhan masa depan," katanya.
Beliau juga berkata, kumpulan itu merancang membuka lebih banyak cawangan di negara berhampiran.
Alliance Islamic Bank Bhd berkhidmat sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com