Penggabungan BPMB, Exim dan SME Bank masih diteruskan - PM | DagangNews Skip to main content

Penggabungan BPMB, Exim dan SME Bank masih diteruskan - PM

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 22 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Exim Bank dan SME Bank masih dalam proses dan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana tidak akan diketepikan.

 

"Itu antara syarat-syarat yang ditekankan oleh Bank Negara yang memantau soal penggabungan walaupun terlalu awal untuk saya berikan komen tetapi syarat PMKS, syarat pinjaman bumiputera, itu tetap dijadikan satu ukuran dan dasar daripada penggabungan ini," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai penggabungan tiga bank tersebut.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Anwar mengumumkan institusi kewangan pembangunan akan distruktur semula melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia, SME Bank dan Exim Bank. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: PENGILANG gesa kerajaan batalkan cadangan gabung tiga bank elak ekonomi bumiputera terjejas

 

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendekatan kerajaan dalam menoktahkan miskin tegar dan membasmi kemiskinan dilaksanakan tanpa mengira kaum.

 

Perdana Menteri mengakui, majoriti yang miskin adalah dalam kalangan masyarakat Melayu, namun kategori termiskin dalam kalangan rakyat miskin itu adalah daripada kaum India.

 

“Sebagai contoh, bila kita selesaikan miskin tegar di Kuala Lumpur, kita tidak ikut kaum… maknanya semua masyarakat miskin tegar (membabitkan) Melayu, jumlah kecil masyarakat Cina, tapi besar (jumlahnya) dalam masyarakat India. Itu diselesaikan.

 

“Tidak benar dikatakan hanya untuk Melayu tapi tentunya majoriti ialah masyarakat Melayu. Saya harap penjelasan ini jelas dan jika ada kenyataan sebaliknya, maklum pada saya kerana ia bertentangan dengan dasar kita.

 

“Siapa saja yang masuk golongan miskin tegar, asalkan warganegara ia wajib dibantu tanpa diskriminasi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang meminta Perdana Menteri menoktahkan kemiskinan semua kaum kerana walaupun majoriti paling miskin adalah daripada kaum Melayu, namun kategori termiskin dalam kalangan yang miskin adalah daripada kaum India. - DagangNews.com