PUTRAJAYA 18 Nov - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan arahan keselamatan melarang penggunaan bagasi pintar atau 'skuter' dalam kawasan apron lapangan terbang.
Apron merujuk kepada kawasan terbuka di lapangan terbang terletak berhampiran terminal penumpang dan landasan di mana pesawat diletakkan, diselenggara dan disiapkan sebelum berlepas atau selepas mendarat.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam arahan keselamatan bertarikh 15 November lalu berkata, walaupun bagasi pintar yang boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang, penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.
Beliau berkata, di kawasan itu terdapat jentera berat, pesawat, kenderaan perkhidmatan darat dan petugas, sekali gus memerlukan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dan kerosakan peralatan.
"Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan lapangan terbang, penggunaan bagasi pintar dilarang di kawasan berkenaan," katanya.
Fungsi utama lain apron lapangan terbang termasuk sebagai kawasan pengendalian kargo, bagasi dan bekalan lain dipindahkan antara pesawat serta terminal, selain bagi penyelenggaraan pesawat dan pengisian bahan bakar.
Selain itu, pesawat yang bergerak dari tempat parkir ke landasan atau sebaliknya akan melalui apron yang secara ringkasnya adalah kawasan penting untuk operasi pesawat di lapangan terbang.
Sehubungan itu, Norazman berkata, penggunaan bagasi pintar tidak dibenarkan melebihi kawasan tertentu seperti ruang terminal dan zon menunggu, manakala papan tanda larangan perlu dipasang untuk memaklumkan pengguna.
Beliau berkata, bagasi pintar yang dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya ,termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.
Petugas di lapangan perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar yang boleh ditunggang dan melaksanakan protokol keselamatan untuk mengendalikannya.
Ia termasuk melaporkan segera sebarang penggunaan di kawasan apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.
"Selain itu, penyedia perkhidmatan pengendalian darat perlu pastikan semua petugas tahu prosedur yang betul untuk memuat, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutama jika ia mengandungi bateri litium atau komponen elektrik lain yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan," katanya.
Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang juga dinasihatkan untuk memaklumkan atau memasukkan arahan keselamatan itu menerusi pengumuman prapenerbangan termasuk pada tiket. - DagangNews.com