KUALA LUMPUR 24 Okt - Phillip Capital meramalkan pengukuhan nilai ringgit akan memberi kesan ketara kepada pendapatan 2HFY25 Pantech Group Holdings Bhd.
Katanya, keuntungan bersih teras 6MFY25 bagaimanapun meningkat lebih tinggi kepada RM63 juta, menyumbang 51%/56% daripada ramalan mereka dan konsensus.
"Kami menganggap keputusan itu tidak menepati ramalan kami, tetapi selaras dengan konsensus, dengan jangkaan prestasi 2HFY25 yang lebih lemah dengan pengukuhan nilai ringgit.
"Kami juga menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) antara 7% hingga 8%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, hasil kumpulan itu pada 6MFY25 meningkat 3% kepada RM508 juta, apabila jualan segmen pembuatan yang lebih kukuh mengimbangi segmen dagangan yang terjejas oleh penghantaran jualan yang lebih rendah dan kerugian tukaran mata wang asing daripada dollar Amerika Syarikat (AS) yang lemah.
Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBITDA) kumpulan bagi tempoh sama berkembang 19% disokong campuran produk yang menggalakkan.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga berjaya mendapatkan tiga pelanggan baharu dari Mexico dan kejayaan itu menyaksika mereka terus mengembangkan jejak globalnya.
Katanya, kumpulan itu juga bersedia mengambil bahagian dalam tender akan datang bagi projek Lang Lebah di Sarawak, terutamanya membekalkan PVF keluli tahan karat dan karbon kepada kontraktor EPC, dengan anugerah sebenar dijangka dalam separuh kedua 2025.
"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuk permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan untuk PVF, kelewatan projek yang tidak dijangka dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan," katanya.
Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan Harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.30 sesaham.- DagangNews.com