Peningkatan gaji dan keadaan ekonomi stabil bakal mendorong pertumbuhan sektor pengguna, kata Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Peningkatan gaji dan keadaan ekonomi stabil bakal mendorong pertumbuhan sektor pengguna, kata Apex Securities

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Sektor pengguna Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan positif pada 2025, didorong oleh gabungan kenaikan gaji, peningkatan pendapatan boleh guna dan keadaan ekonomi yang bertambah baik, kata Apex Securities.

 

Ketika negara bersedia untuk beberapa perubahan fiskal utama pada tahun akan datang, termasuk kenaikan gaji minimum dan pelarasan gaji kerajaan, prospek perbelanjaan pengguna kekal positif.

 

Apex berpandangan unjuran Kumpulan Runcit Malaysia (RGM) mengenai kadar pertumbuhan 4% bagi sektor pengguna pada 2025 boleh dicapai, sejajar dengan jangkaan kadar pertumbuhan ekonomi keseluruhan kira-kira 4.5% sehingga 5.5% bagi tahun tersebut.

 

Pertumbuhan ini dijangka disokong oleh peningkatan dalam pendapatan boleh guna, kerana kedua-dua gaji sektor awam dan swasta dijangka meningkat dengan ketara.

 

Penjawat awam menerima kenaikan gaji 4% sehingga 8% bermula Disember 2024, manakala gaji minimum di semua industri akan dinaikkan sebanyak 13%, daripada RM1,500 kepada RM1,700 pada Februari 2025.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat, kenaikan gaji ini dijangka meningkatkan kuasa beli pengguna Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar, di mana kesan kenaikan gaji minimum boleh merangsang peningkatan perbelanjaan.

 

"Selain itu, pemberian tunai kerajaan yang lebih besar pada tahun 2025 dijangka dapat mengurangkan lagi tekanan kos sara hidup yang tinggi, memberikan pengguna lebih fleksibiliti kewangan.

 

"Sektor pengguna juga berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan 30% tahun ke tahun (YoY) dalam ketibaan pelancong menjelang Oktober 2024, yang dijangka memacu aktiviti runcit dan meningkatkan permintaan untuk barangan pengguna," katanya. 

 

Apex percaya ringgit Malaysia yang stabil akan membantu perniagaan dalam sektor pengguna melindungi margin keuntungan mereka.

 

Pada separuh pertama 2025, sektor pengguna dijangka mengalami rangsangan, didorong oleh tempoh perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, yang sebelum ini akan merangsangkan perbelanjaan pengguna.

 

"Dengan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dan perayaan yang akan datang pada 1H2025, pilihan utama kami dalam sektor pengguna ialah CCK (beli, harga sasaran (TP):RM1.70) dan Karex (beli, TP:RM1.04)," katanya. 

 

Walaupun terdapat petunjuk positif ini, Apex telah mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor pengguna.

 

Walaupun peningkatan dalam pendapatan boleh guna dan persekitaran perbelanjaan yang berpotensi lebih tinggi adalah menggalakkan, tekanan inflasi boleh melemahkan tingkah laku pengguna.- DagangNews.com