Peningkatan permintaan pakaian sukan, Magni-Tech diramal catat peningkatan pendapatan pada 3Q - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Peningkatan permintaan pakaian sukan, Magni-Tech diramal catat peningkatan pendapatan pada 3Q - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Magni-Tech Industries Bhd diramal mencatatkan peningkatan pendapatan pada suku keempat ketiga kerana suku itu kebiasaanya menjadi suku terbaik kumpulan dipacu peningkatan permintaan untuk pakaian sukan semasa musim luruh dan musim sejuk.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, walaupun tekanan inflasi mungkin menjejaskan jualan kumpulan bagi jangka pendek tetapi pihaknya positif terhadap pertumbuhan jangka panjang.

 

"Ia didorong penyertaan yang semakin meningkat dalam sukan di peringkat global apabila pengguna semakin menyedari kepentingan kesihatan dan kecergasan,"katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM25.87 juta pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2024 (2QFY25) berbanding RM21.79 juta pada 2QFY24 didorong pendapatan yang lebih kukuh daripada perniagaan pakaiannya.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi prestasi lebih rendah dalam pembungkusan plastik fleksibel yang terkesan oleh kos bahan mentah yang lebih tinggi.

 

Hasil melonjak 22% kepada RM350.83 juta daripada RM287.6 juta.

 

Bagi enam bulan pertama FY25 (6MFY25), keuntungan bersih kumpulan melonjak 29.35% kepada RM70.51 juta berbanding RM54.51 juta, manakala hasil meningkat 28.83% kepada RM788.42 juta daripada RM611.98 juta.

 

Kumpulan itu optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek perniagaannya untuk baki suku tahun FY25 walaupun pemulihan ekonomi global yang perlahan, gangguan rantaian bekalan di Laut Merah dan turun naik mata wang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.02 sesaham.- DagangNews.com