Perak Transit peroleh projek bangunkan Kota Bharu Sentral, lantik CCCC jadi kontraktor utama | DagangNews Skip to main content

Perak Transit peroleh projek bangunkan Kota Bharu Sentral, lantik CCCC jadi kontraktor utama

Perak Transit terlibat terutamanya dalam mengendalikan IPTT, iaitu Terminal Meru Raya dan Kampar Putra Sentral di Perak, dan menyediakan perkhidmatan bas awam di Malaysia. - Gambar The Star
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 Okt - Perak Transit Bhd, pemaju dan pengendali terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT),  menerima surat anugerah dan kelulusan daripada pejabat setiausaha kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan terminal Kota Bharu Sentral (KB Sentral).

 

Keputusan untuk menganugerahkan projek itu kepada Perak Transit dibuat semasa mesyuarat majlis kerajaan negeri yang diadakan pada 2 Okt, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

 

"Perak Transit akan melantik China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama bagi projek itu," katanya.

 

Butiran yang diumumkan kepada bursa saham adalah tidak banyak, dengan Perak Transit menyatakan bahawa syarat lanjut akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa negeri dalam beberapa hari akan datang.

 

Pada Mac lalu, pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar negeri Hilmi Abdullah dipetik sebagai berkata KB Sentral dijangka siap menjelang 2027, dengan kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat untuk melaksanakan projek itu.

 

Selain KB Sentral, beliau turut mengumumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun yang sama.

 

Perak Transit terlibat terutamanya dalam mengendalikan IPTT, iaitu Terminal Meru Raya dan Kampar Putra Sentral di Perak, dan menyediakan perkhidmatan bas awam di Malaysia.

 

Syarikat yang berpangkalan di Perak itu turut terlibat dalam operasi stesen minyak di Ipoh, Lahat dan Kuala Kangsar, serta pembinaan menara telekomunikasi. - DagangNews.com