Perdagangan Malaysia berkembang 0.7 peratus pada Ogos 2024, dipacu oleh minyak galian - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia berkembang 0.7 peratus pada Ogos 2024, dipacu oleh minyak galian - DOSM

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Sept – Harga eksport Malaysia pada Ogos 2024 naik secara marginal 0.02 peratus daripada 150.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.3 mata, manakala harga import jatuh 0.6 peratus kepada 129.6 mata.

 

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia berkembang 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 116.0 mata, sebagaimana dipaparkan oleh laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100), Ogos 2024 pada hari ini.

 

Penerbitan ini memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, indeks nilai seunit eksport naik secara marginal 0.02 peratus pada Ogos 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+1.2%), makanan (+0.6%) dan minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+0.2%).

 

Namun begitu, indeks volum eksport turun 1.5 peratus selaras dengan penurunan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-13.7%), minyak galian (-5.9%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.7%).

 

Indeks volum eksport pelarasan bermusim bertambah 0.8 peratus daripada 169.1 mata kepada 170.5 mata.

 

 

dosm

 

 

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menokok 5.6 peratus dan 6.2 peratus.

 

Indeks nilai seunit import jatuh 0.6 peratus pada Ogos 2024, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-3.2%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.4%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.3%).

 

Sementara itu, indeks volum import turut menurun 0.3 peratus pada Ogos 2024 berbanding Julai 2024, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-8.8%), pelbagai barang keluaran kilang (-4.8%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.0%).

 

Indeks volum import pelarasan bermusim menokok 2.0 peratus daripada 224.5 mata kepada 229.1 mata.

 

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 0.6 peratus dan 25.5 peratus.

 

Pada masa yang sama, terma perdagangan Malaysia bertambah 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 116.0 mata pada Ogos 2024, didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+4.6%), makanan (+0.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.2%).

 

Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 5.0 peratus daripada 110.5 mata pada Ogos tahun lalu. - DagangNews.com