Perjanjian M&A sedang dilaksanakan dengan dagangan saham Public Bank, LPI Capital digantung - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Perjanjian M&A sedang dilaksanakan dengan dagangan saham Public Bank, LPI Capital digantung - RHB Investment

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - RHB Investment berkata penggantungan dagangan yang diminta oleh Public Bank Bhd dan LPI Capital Bhd terhadap saham masing-masing mengesahkan  laporan media mengenai perjanjian yang dicapai.

 

Katanya, berdasarkan anggarannya, urus niaga tunai itu akan menjadi pendapatan dan pulangan ekuiti (ROE) akretif dan bakal memindahkan nisbah Ekuiti Biasa Peringkat 1 (CET-1) Public Bank kepada tahap yang lebih optimum, selaras dengan objektif pengurusan yang dinyatakan baru-baru ini iaitu "mengoptimumkan modal untuk memaksimumkan ROE".

 

"Ia akan membawa modal lebih dekat ke tahap optimumnya.

 

"Dengan mengandaikan Public Bank menerbitkan saham baharu, kami menganggarkan kesan neutral secara amnya ke atas EPS, ROE dan modal.

 

"Kami juga mengunjurkan senario sebegitu, pegangan harta mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dalam Public Bank boleh meningkat kepada 24.6% daripada 23.4% sekarang," katanya dalam satu nota kajian hari ini

 

LPI Capital kebanyakannya terlibat dalam perniagaan insurans am di Malaysia, Singapura dan Kemboja.

 

Pada separuh pertama 2024, LPI Capital mencatat keuntungan bersih RM179 juta, meningkat 31% tahun ke tahun (YoY) daripada pembalikan rizab insurans semula sebelumnya yang berkaitan dengan segmen insurans kebakarannya, menunjukkan kepada ROE tahunannya sebanyak 16% daripada 13% setahun yang lalu.

 

Dengan mengandaikan nisbah harga kepada buku penggabungan dan pemerolehan sebanyak dua kali serupa dengan perjanjian AMMB-Kurnia, bank pelaburan menganggarkan LPI boleh mencecah nilai RM5.3 bilion, menggunakan nilai buku konsensus FY25 sesaham.

 

RHB Invetment percaya perjanjian sedemikian boleh menjadi sebahagian daripada rancangan pengurusan untuk menambah baik sumbangan dan susulan pemerolehan awal RHB Securities Vietnam pada harga 374 bilion VND iaitu RM65 juta.

 

"Mungkin pihak pengurusan melihat sinergi yang lebih baik dengan dapat menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang lengkap.

 

"Kami menunggu butiran lanjut mengenai perjanjian itu dan berminat untuk mendengar pandangan pengurusan tentang bagaimana pengambilalihan itu sesuai dengan kumpulan dan strateginya," katanya.

 

RHB IB mengekalkan panggilan "beli" ke atas Public Bank dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM5.30 sesaham. - DagangNews.com