PublicInvest positif terhadap prospek RCE Capital didorong kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif terhadap prospek RCE Capital didorong kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Public Investment Bank (PublicInvest) optimis terhadap prospek jangka panjang syarikat rumusan pembiayaan RCE Capital Bhd didorong oleh kenaikan gaji penjawat awam pada Disember tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menjangkakan penghutang pembiayaan RCE Capital hanya mula meningkat pada separuh kedua 2025, memandangkan pelanggan institusi kewangan bukan bank itu kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan.

 

Walaupun elaun rosot nilai kekal tinggi kerana tahap peletakan jawatan dan persaraan awal tinggi, firma penyelidikan itu berpendapat situasi paling teruk mungkin telah berakhir, disebabkan pelarasan gaji kakitangan awam yang seharusnya membantu mengurangkan persaraan awal dan peletakan jawatan.

 

"Walaupun peletakan jawatan dan persaraan awal kekal tinggi, kami percaya kenaikan gaji akan membantu mengurangkan trend ini dan mungkin menyebabkan kos kredit yang lebih rendah pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

PublicInvest menjangkakan RCE Capital akan menerbitkan satu lagi pusingan sukuk berjumlah RM150 juta pada Disember 2024, dengan hasilnya akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman jangka pendek (kredit pusingan), yang berpotensi membawa kepada peningkatan dalam margin keuntungan.

 

Untung bersih suku pertama tahun kewangan 2025 RCE Capital menurun sebanyak 17% tahun ke tahun kepada RM30.3 juta, disebabkan oleh pendapatan yuran yang lebih rendah dan elaun yang lebih tinggi untuk kerugian rosot nilai.

 

Sementara itu, pembiayaan tidak berbayar (NPF) meneruskan aliran menaiknya, apabila RCE Capital menyaksikan nisbah NPF meningkat kepada 4.2% (1QFY24: 3.7 peratus), disebabkan persaraan awal dan peletakan jawatan dalam perkhidmatan awam.

 

PublicInvest mengekalkan panggilan 'Neutral' terhadap syarikat itu dengan harga sasaran RM 1.60 untuk saham tersebut. RCE Capital didagangkan satu sen lebih rendah pada RM1.52 saham sebelum ini. - DagangNews.com