KUALA LUMPUR 17 Dis - Permintaan minyak sawit pada Disember 2024 diunjur kekal stabil apabila pengimport bersedia untuk mandat biodiesel B40 Indonesia, yang akan bermula Januari 2025, dan potensi semakan semula struktur levi eksport minyak sawit negara.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia berada dalam aliran menurun sejak September 2024, berikutan pertumbuhan yang kukuh dalam lapan bulan pertama 2024.
Pada bulan lalu, eksport turun 14.7% kepada 1.48 juta tan. Namun, eksport tahun sehingga kini dari Januari hingga November meningkat sebanyak 12.8% (1.66 juta tan), dengan jumlah eksport bagi 2024 dijangka mencecah 16.8 juta tan.
Dari segi nilai, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit menjana RM99.3 bilion dalam tempoh 11 bulan 2024, mencerminkan peningkatan RM12.5 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Walaupun hujan lebat dan banjir kilat pada akhir November mengganggu proses penuaian dan pengeluaran di Malaysia dan wilayah Kalimantan Indonesia, eksport pada bulan itu meningkat sebanyak 5.7%, mencapai volum kedua tertinggi bagi November sejak 2018.
Bagaimanapun, dengan musim tengkujuh berkemungkinan berterusan sehingga Disember, MPOC menjangkakan penurunan selanjutnya dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia, dengan inventori akhir tahun diunjurkan menurun kepada 1.8 juta tan—penurunan 21% berbanding 2.29 juta tan yang dicatatkan pada Disember 2023 .
Sementara itu, MPOC berkata, harga minyak kacang soya AS telah jatuh ke paras terendah sejak 2020, menjadikannya minyak sayuran paling berpatutan di seluruh dunia.
Katanya, peralihan harga ini sebahagian besarnya didorong oleh dasar bahan api bio yang tidak jelas di bawah pentadbiran Donald Trump ditambah dengan pengeluaran kacang soya global yang memberangsangkan untuk musim semasa.
"Harga minyak kacang soya yang lemah di AS dijangka berbalik dengan cepat sebaik dasar bahan api bio AS dijelaskan, mendorong pengeluar biobahan api untuk meneruskan pembelian mereka dan menaikkan harga minyak kacang soya," katanya.
Dengan China menghapuskan 13% rebat cukai ke atas eksport minyak masak terpakai (UCO) mulai 1 Disember 2024, MPOC berkata import UCO ke AS telah menjadi lebih mahal.
AS mengimport 1.07 juta tan UCO dari China antara Januari dan Oktober 2024, yang menyumbang 34% daripada bahan mentah UCO yang digunakan dalam pengeluaran biodiesel.
Hasilnya, MPOC berkata penggunaan minyak kacang soya dalam industri biofuel AS dijangka berkembang dengan stabil dalam beberapa bulan akan datang.
“Pada Disember, jangkaan pemulihan harga minyak kacang soya berkemungkinan memberikan sokongan berterusan untuk harga minyak sawit, mengekalkannya melebihi RM4,800.
“Bagaimanapun, tahap kenaikan harga ini bergantung kepada keadaan bekalan di Malaysia dan Indonesia, terutamanya jika monsun teruk berterusan sepanjang Disember, seterusnya mengganggu pengeluaran.
"Selain itu, harga tenaga yang lemah akan bertindak sebagai faktor pengehad untuk kenaikan harga minyak sawit, kerana minyak sawit kekal AS$400 setiap tan lebih mahal daripada minyak gas, memerlukan subsidi kerajaan yang besar untuk menjadikan minyak sawit berdaya maju untuk pengadunan biodiesel," katanya.- DagangNews.com