Permintaan V.S. Industry mencecah RM1.5 bilion, operasi kilang di Filipina dijangka mula pada suku pertama 2025 | DagangNews Skip to main content

Permintaan V.S. Industry mencecah RM1.5 bilion, operasi kilang di Filipina dijangka mula pada suku pertama 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Permintaan V.S. Industry Bhd kekal kukuh, pembinaan kilang baharu di Filipina sedang berjalan dengan lancar dan dijangka bermula operasinya menjelang suku pertama 2025, kata Pengarah Urusan, Datuk S.Y. Gan.

 

Gan berkata, kumpulan menerima tempahan baharu dengan jangkaan nilai agregat RM1.5 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

“Kami yakin dengan prospek kami ketika kami melangkah ke tahun kewangan baharu (FY25).

 

“Ini disokong oleh prospek permintaan yang sihat daripada pelanggan sedia ada dan kemudahan pembuatan baharu kami di Filipina.

 

“Prospek kewangan FY25 juga akan dipacu oleh aliran menaik dalam pesanan berterusan dan disokong lagi oleh pelancaran produk baharu yang akan datang daripada pelanggan utama kami.

 

“Selain pemotongan kadar faedah baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS) memberikan rangsangan yang dialu-alukan kepada perniagaan dan sentimen pengguna,” katanya semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-42, hari ini.

 

Mewakili kumpulan, beliau berkata, V.S akan terus membangunkan kilangnya di Filipina. 

 

“Keyakinan kami juga tercermin dalam strategi perbelanjaan modal (capex) .

 

“Kami telah memperuntukkan sekitar RM150 juta dalam belanjawan bagi FY25 dengan sebahagian besarnya diperuntukkan untuk kemudahan di Filipina, pemerolehan kilang baharu di Indonesia serta belanja modal penyelenggaraan bagi operasi Malaysia kami.

 

"Pelaburan ini membolehkan kami mengukuhkan asas kami sambil memaju ke hadapan," katanya.

 

Sementara itu, VS terus membayar dividen suku tahunannya pada FY24 berjumlah 2.2 sen atau RM84.8 juta.

 

Ini diterjemahkan kepada pembayaran 43.4% berdasarkan keuntungan bersih FY24 dan kepentingan bukan kawalan sebanyak RM195.5 juta, yang melebihi dasar dividen kumpulan. - DagangNews.com