KUALA LUMPUR 3 Jan - Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) mencadangkan kerajaan menyelaraskan gaji minimum mengikut zon bagi menangani jurang kos sara hidup di seluruh negara.
Presiden MRA, Datuk Andrew Lim memetik model yang serupa dengan Indonesia di mana gaji minimum diselaraskan mengikut kos sara hidup serantau.
Lim berkata, persatuan itu menghargai dasar kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang digariskan dalam Belanjawan 2025.
"Walaubagaimanapun, kami mencadangkan kerajaan untuk mengenakan gaji minimum mengikut zon.
"Sebagai contoh, kos sara hidup di Perlis adalah lebih berbanding dengan Lembah Klang oleh itu, sistem penyelarasan gaji minimum berasaskan zon mampu mencerminkan perbezaan ini," katanya.
Mengenai kenaikan gaji minimum terkini kepada RM1,500, beliau berkata Lembah Klang mengalami kekurangan tenaga buruh berikutan pekerja dari negeri lain tidak mampu menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi di rantau itu.
Selain itu, Lim mempersoalkan rasional di sebalik kenaikan gaji minimum untuk pekerja asing kerana kelebihan utama menggaji buruh asing adalah keberkesanan kos.
"Pekerja asing harus menambah tenaga kerja dalam sektor seperti perladangan dan pembinaan yang sedang mengalami kekurangan tenaga kerja tempatan.
"Pasaran buruh Malaysia mesti mengutamakan rakyat Malaysia," katanya.
Mengenai pekerja asing yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau melahirkan kebimbangan mengenai potensi implikasi jangka panjang.
"Pekerja asing digalakkan untuk pulang ke tanah air selepas kontrak mereka tamat.
"Tetapi dengan mewajibkan caruman KWSP kepada mereka, adakah kita mewujudkan insentif untuk mereka tinggal di sini?" katanya.
Oleh itu, Lim juga menggesa kerajaan melindungi pekerjaan untuk rakyat Malaysia sambil memastikan pekerja asing menyumbang hanya dalam sektor perladangan dan pembinaan yang kini mengalami kekurangan tenaga kerja. - DagangNews.com