KUALA LUMPUR 24 Okt - Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) menjayakan Persidangan Tahunan 2024, bertemakan Kelestarian Hari Ini untuk Hari Esok, yang membincangkan topik tadbir urus sukan yang sering diabaikan.
Persidangan tahun ini yang juga edisi kedua program, menghimpunkan lebih 900 peserta.
Acara kemuncak persidangan adalah ucaptama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Pada hari ini, kita mempunyai 103 jenis sukan yang diwartakan bukan sahaja sukan fizikal tradisional, tetapi juga e-sukan dan sukan minda.
“Akses kepada sukan perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia, dan Kementerian Belia dan Sukan memberi komitmen untuk meneroka idea-idea kreatif yang memberi manfaat kepada semua pihak yang berkepentingan," katanya.
Hannah menekankan, walaupun kementerian memberi tumpuan kepada golongan belia dan sukan, visi mereka adalah inklusif.
“Sukan adalah untuk semua golongan. Kami berhasrat memastikan inisiatif kementerian memenuhi keperluan semua kumpulan umur dan latar belakang," jelasnya.
Tambah beliau, penyelarasan dengan tadbir urus mampan adalah amat penting, kerana ia mencerminkan komitmen kementerian untuk mereformasi sektor sukan, memastikan ia bukan sahaja berkembang maju hari ini tetapi juga lestari untuk generasi akan datang.
Menyedari kepentingan tadbir urus yang berkesan dalam sektor sukan, Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny menyatakan, Chartered Governance Institute (CGI) UK telah menubuhkan Akademi Tadbir Urus Sukan.
“Akademi ini akan melengkapkan pelajar dan profesional dengan kepakaran kritikal yang diperlukan untuk meningkatkan tadbir urus dalam organisasi sukan.
“Dengan menangani bidang utama seperti prinsip tadbir urus, struktur dan pengurusan risiko, kami berhasrat untuk memupuk budaya integriti, pematuhan dan penglibatan pihak berkepentingan dalam industri sukan," ujarnya.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada CGI UK, ia merupakan tanggungjawab MAICSA untuk memberi perhatian kepada tadbir urus sukan di Malaysia yang mencerminkan komitmen institut untuk memajukan bidang kritikal tersebut.
Akbar berkata, tema utama persidangan ialah mengintegrasikan kelestarian dalam semua bidang tadbir urus.
“Tindakan yang kita lakukan hari ini akan menentukan kejayaan hari esok. Kelestarian bukan sekadar kewajipan tetapi keperluan strategik untuk organisasi berkembang maju dalam persekitaran yang sentiasa berubah,” katanya.
Persidangan berkenaan menampilkan 10 oleh pakar industri, meliputi topik yang menarik seperti kemas kini peraturan oleh SSM, cukai keuntungan modal, ekosistem perniagaan yang lestari, kecerdasan buatan dalam perlindungan data, peranan penting rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), tadbir urus keselamatan siber dan banyak lagi.
Perbincangan yang mantap dan jitu bukan sahaja memberikan peserta pengetahuan yang bernilai, tetapi juga membina semangat kerjasama yang kukuh dalam kalangan profesional yang berdedikasi untuk memajukan tadbir urus yang lestari. - DagangNews.com