KUALA LUMPUR 18 Dis - Sektor penjagaan kesihatan dipercayai berdepan tekanan margin dalam jangka pendek tetapi ia akan diimbangi oleh pertumbuhan pelancongan perubatan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, sektor penjagaan kesihatan domestik menjadi tumpuan dengan pengumuman kementerian baru-baru ini untuk memperkenalkan harga kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) bagi mengawal bil hospital swasta dalam langkah membendung inflasi kos perubatan.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu berikutan mandat Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kemasukan pembayaran bersama dalam semua pakej insurans/takaful perubatan baharu awal tahun ini.
"Tekanan margin mungkin berlaku dalam jangka pendek tetapi impak ini juga berpotensi diimbangi kemajuan dalam pelancongan perubatan (yang biasanya mencatatkan margin 20% lebih tinggi disebabkan kerumitan kes, perkhidmatan tambahan) dan pelepasan cukai yang meningkat caj perubatan dan premium insurans,” katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, KPJ Healthcare Bhd merupakan penerima manfaat terbesar pelancongan perubatan, menyumbang 6% kepada pendapatan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Katanya, sektor penjagaan kesihatan telah mengalami tahun yang luar biasa dari segi prestasi pendapatan berturut-turut untuk pengusaha hospital.
Firma penyelidikan itu berkata, IHH Healthcare Bhd menyaksikan pertumbuhan 12% tahun ke tahun dalam pendapatan sembilan bulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) manakala keuntungan bersih teras meningkat 21%.
Sementara itu, KPJ mencatatkan kenaikan 7% tahun ke atas dalam EBITDA dan lonjakan 23% tahun ke tahun dalam keuntungan bersih teras.
Maybank IB mengekalkan saranan "beli" ke atas KPJ dan Optimax Holdings Bhd.
Ia percaya bahawa model perniagaan KPJ melalui persediaan pusat jagaan ambulatori (ACC) kerana ia berupaya meningkatkan aliran pesakit dan membebaskan ruang katil operasi.
Bagi Optimax, ia percaya peningkatan boleh datang daripada menyertai beberapa panel insurans dan takaful yang besar, yang disasarkan untuk suku pertama 2025.- DagangNews.com