Pesawat F/A-18 Hornet Kuwait semakin hampir dimiliki TUDM | DagangNews Skip to main content

Pesawat F/A-18 Hornet Kuwait semakin hampir dimiliki TUDM

Usaha mendapatkan pesawat Hornet Kuwait dapat menambah bilangan pesawat dimiliki TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 Sept - Usaha kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pesawat-pesawat F/A-18C/D milik Kuwait dikatakan semakin hampir yang mana perbincangan lebih khusus akan diadakan.

 

Memetik laman pertahanan Defence Security Asia, perbincangan peringkat tertinggi antara negara sedang diusahakan antara peringkat kementerian pertahanan.

 

Difahamkan, terdapat kemungkinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan ke Kuwait pada November ini untuk berunding.

 

 

Langkah ini dipercayai susulan kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed Asaleh ke atas Mohamed Khaled di Kementerian Pertahanan pada Julai lalu.

 

Pesawat
Pesawat-pesawat F/A-18D Hornet Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM. 
 

 

Antara dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk hasrat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapatkan pesawat-pesawat F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait.

 

Malaysia berbesar hati melihat kemajuan positif dalam hubungan bilateral dan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait. 

 

Difahamkan juga kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara akan terus diperkukuh melalui memorandum persefahaman yang akan ditandatangani kelak.

 

Pertemuan antara Mohamed Khaled dan duta Kuwait ketika itu turut disertai Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

 

Pesawat
Rashed Mohammed Rashed Asaleh semasa bertemu Mohamed Khaled di Kementerian Pertahanan.
 

 

Pesawat

 

Pada Jun lalu, TUDM telah menghantar pasukan teknikal mengadakan lawatan ke Kuwait bagi menilai keupayaan pesawat tempur F/A-18 Hornet negara tersebut.

 

Pasukan itu menganalisis beberapa aspek dan mencadangkan pilihan yang sesuai dengan keperluan TUDM sebelum proses perolehan dibuat.

 

Penilaian tersebut untuk melihat sama ada untuk pesawat ini boleh melaksanakan tugas yang diperlukan.

 

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci tetapi difahamkan rancangan TUDM mendapatkan pesawat-pesawat Hornet terpakai ini untuk dioperasikan sehingga tahun 2035.

 

Kuwait mempunyai 39 pesawat F/A-18 Hornet jenis dua tempat duduk dan satu tempat duduk, yang mana pihak TUDM menentukan jumlah yang diperlukan.

 

Pesawat

 

Pesawat
Pesawat F/A-18 E/F Super Hornet.

 

Bermakna, pesawat-pesawat tersebut akan diguna dalam tempoh 10 tahun sahaja sebelum TUDM memulakan program pembelian pesawat baharu.

 

Berdasarkan petunjuk semasa, rancangan TUDM untuk membeli pesawat terpakai Kuwait ini menunjukkan tanda sangat positif.

 

Sekiranya menjadi kenyataan, tambahan sekurang-kurangnya sebahagian daripada 34 pesawat Hornet Kuwait dapat menggandakan keupayaan TUDM walaupun dengan pesawat terpakai.

 

Keputusan tersebut dilihat sebagai yang terbaik untuk dijadikan langkah sementara selain memenuhi kemampuan kocek negara dalam keadaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kekurangan pesawat.

 

Usia Hornet Kuwait lebih tua berbanding varian D milik TUDM, namun memiliki tambahan pesawat tempur ini setidak-tidaknya menambah jumlah yang ada.

 

Pesawat
Walaupun berusia 25 tahun, namun pesawat Hornet TUDM masih dapat beroperasi dengan baik.

 

Pesawat

 

Hasrat TUDM mendapatkan pesawat-pesawat Hornet Kuwait mula diperkatakan pada tahun 2017 berikutan keputusan Kuwait membeli pesawat Super Hornet.

 

Ini kerana ia merupakan peluang terbaik bagi TUDM untuk menambah bilangan pesawat Hornet sedia ada sekurang-kurangnya menjadi dua buah skuadron atau 18 pesawat.

 

Bagaimana pun, sepanjang tempoh tersebut tidak ada permohonan secara rasmi dibuat kerajaan Malaysia kepada Kuwait selain pertukaran kerajaan beberapa kali.

 

Hanya pada dua tahun lalu hasrat mendapatkan pesawat Hornet Kuwait ini dikemukakan antara negara dengan negara.

 

Pada Jun tahun lepas, Kuwait dilaporkan memohon kepada Amerika Syarikat untuk menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet miliknya bernilai AS$1.8 bilion (RM8.5 bilion) disebabkan penghantaran Super Hornet berdepan kelewatan.

 

Melihat pada atas kertas, proses bagi Malaysia mendapatkan pesawat ini walaupun perlu melalui beberapa peringkat lagi tetapi ia menunjukkan semakin hampir dimiliki TUDM. - DagangNews.com