KUALA LUMPUR 2 Dis - Pesona Metro Holdings Bhd menerusi Pesona Metro Sdn Bhd menerima kontrak RM181.79 juta daripada NRY Architects Sdn Bhd bagi kerja-kerja substruktur dan bangunan utama dua blok kondominium setinggi 28 tingkat di Cyberjaya.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerja-kerja itu turut melibatkan pembinaan satu unit rumah kelab satu tungkat yang mengandungi kedai berstrata dan tempat letak kereta dua tingkat aras bawah tanah.
Katanya, ia juga melibatkan pembinaan satu unit pusat senaman, pencawang elektrik satu tingkat, pondok pengawal dan dua unit kolam renang di aras 27.
"Projek itu adalah untuk tempoh 40 bulan dari tarikh permulaan yang secara tentatifnya bermula pada 16 Disember 2024," katanya.
Kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan meningkatkan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek.- DagangNews.com