KUALA LUMPUR 17 Jan - PGF Capital Bhd berkemungkinan besar mencatatkan keuntungan antara RM6 juta hingga RM8 juta bagi bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025 (3QFY25).
TA Securities berkata, kumpulan itu juga diramal mencatatkan prestasi kewangan yang stabil pada FY25.
Katanya, unjuran keuntungan suku tahunan akan menjadikan pendapatan terkumpul sembilan bulan PGF Capital kepada RM22.2 juta hingga RM24.2 juta, mewakili 79% hingga 87% daripada ramalan setahun penuh.
“Secara amnya, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan kumpulan adalah mendatar pada separuh kedua 2025 disebabkan kekangan kapasiti,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pertumbuhan kumpulan yang lebih lemah disebabkan faktor bermusim, terutamanya dalam pasaran eksport utama di Australia.
"Aktiviti perdagangan dan pembinaan maritim akan cenderung perlahan di Australia dalam tempoh ini sempena perayaan, menghalang potensi pertumbuhan jualan produk penebat bulu kaca," katanya.
Walaupun begitu, harga jualan produk penebat bulu kaca dijangka kekal kukuh pada RM6.60 sekilogram untuk separuh kedua FY25.
Mengenai usaha pengembangan kapasitinya, TA Securities melaporkan kilang baharu PGF Capital di Kulim East sedang berjalan seperti yang dijadualkan, dengan penyiapan dijangka pada suku pertama 2026.
"Difahamkan tanah itu telah pun dibersihkan dan diratakan untuk kerja-kerja pembinaan dimulakan tidak lama lagi.
"Pengembangan itu, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya kepada 65,000 daripada 25,000 tan pada masa ini, akan menjadi enjin pertumbuhan untuk FY27 dan seterusnya,” katanya.
TA Securities juga tidak bimbang dengan kenaikan tarif elektrik kerana tenaga hanya membentuk 30% daripada jumlah kos pengeluaran kumpulan.
"Kami tidak fikir akan ada kesan pendapatan yang ketara daripada kos elektrik yang lebih tinggi kerana kami percaya ia boleh diserahkan sepenuhnya kepada pengguna," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3 sesaham. - DagangNews.com