KUALA LUMPUR 21 Nov - Platform ekonomi gig memohon berdialog bersama kerajaan sebelum membentangkan Rang Undang-undang Pekerja Gig pada Disember 2024.
Beberapa platform ekonomi gig juga menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang tersebut bagi memastikan rangka kerja yang menyeluruh dan memanfaatkan pekerja.
Katanya, pemain industri mahupun pekerja gig tidak dirujuk dalam proses merangka rang undang-undang tersebut.
"Setakat ini kami tidak menerima draf cadangan pindaan penuh, tambah lagi dengan proses maklum balas yang terhad, kami risau rang undang-undang itu tidak memanfaatkan semua aspek ekonomi gig.
"Kami percaya dengan mengadakan dialog bersama kerajaan dan melanjutkan garis masa Rang Undang-undang itu akan memberi manfaat kepada kejayaan inisiatif ini.
"Lanjutan ini akan membolehkan perundingan yang lebih komprehensif dengan kedua-dua pekerja gig dan pemain industri," kata foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare dan Lalamove dalam satu kenyataan bersama.
Katanya, bagi membina ekosistem ekonomi gig yang mampan, perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk syarikat platform, pekerja gig, ahli akademik dan pakar industri bagi memenuhi pelbagai keperluan ekonomi gig.
" Selain itu, kami memohon kerajan berkongsi draf Rang Undang-undang Pekerja Gig dengan tujuan semakan dan mempelbagaikan input daripada pihak berkepentingan industri.
"Kami juga memohon kerajaan mengembangkan definisi pekerja gig selain e-hailing dan p-hailing bagi merangka dasar yang sesuai bagi semua pekerja gig.
"Di samping itu, pendekatan dipacu oleh permintaan pasaran akan membolehkan pekerja bergerak bebas merentasi pekerjaan dan industri.
"Aspek perlindungan sosial sukarela perlu diperkenalkan bagi menyokong pendaftaran sukarela pekerja dalam skim perlindungan social dibantu oleh platform melalui kempen kesedaran," katanya.
Sementara itu, pemain utama platform ekonomi gig Malaysia komited untuk bekerjaama dengan kerajaan bagi merangka Rang Undang-undang Bil pekerja gig yang berkesan yang melindungi pekerja gig sekali gus memacu pertumbuhan dalam ekonomi digital Malaysia.- DagangNews.com