PM Anwar berterima kasih kepada TNB, syarikat tersenarai awam pertama naikkan gaji minimum | DagangNews Skip to main content

PM Anwar berterima kasih kepada TNB, syarikat tersenarai awam pertama naikkan gaji minimum

Kompleks Ibu Pejabat baharu TNB di Bangsar, Kuala Lumpur - Gambar Sunway Construction

KUALA LUMPUR 29 Okt — Kakitangan syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menerima kenaikan gaji seiring dengan saranan kerajaan supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pendedahan itu semasa sambutan ulang tahun ke-75 syarikat itu di ibu pejabatnya di Bangsar hari ini.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan TNB kerana menjadi antara yang terawal menyahut seruan saya untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,700.

 

“Saya juga berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana bersetuju menaikkan gaji semua kakitangan TNB,” katanya.

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan kenaikan gaji lantai daripada RM1,500 kepada RM1,700 ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 19 Oktober. 

 

"Selepas Belanjawan 2025 baru-baru ini, lembaga pengarah dan pengurusan kanan TNB bersetuju menjadi GLC pertama menyahut seruan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum.

 

“TNB bukan sahaja akan menaikkan gaji minimum... lembaga pengarah dan pengurusan kanan TNB juga telah meluluskan kenaikan gaji dan pendapatan untuk semua kakitangan TNB," kata beliau lagi. - DagangNews.com