KUALA LUMPUR 7 Jan - Porsche Malaysia, yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance, mengumumkan pengenalan varian Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe baharu untuk pasaran tempatan, selepas pelancaran model sama di Thailand tahun lalu.
SUV sporty itu adalah model kedua yang dipasang di Malaysia dan merupakan model pertama yang dipasang untuk eksport serantau.
Cayenne S E-Hybrid Coupe kini tersedia di Malaysia dengan harga bermula RM728,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter berkata, sejak penubuhan kemudahan pemasangan tempatan pada 2022, Porsche telah mencatat beberapa pencapaian penting yang menonjolkan kepentingan pasaran di Malaysia.
Dalam hanya setahun, lebih 1,000 unit Cayenne yang dipasang secara tempatan telah diserahkan kepada pelanggan Malaysia, menunjukkan permintaan yang tinggi dan kepercayaan yang diberikan kepada jenama Porsche.
"Pada tahun lalu, kami melancarkan Cayenne pertama yang dipasang di rantau ini untuk pasaran Thailand.
"Meneruskan momentum ini, kami teruja untuk melancarkan model kedua, Cayenne S E-Hybrid Coupe di Malaysia untuk pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Cayenne S E-Hybrid Coupe baharu yang menampilkan reka bentuk menarik, membolehkan pemiliknya memilih warna luar kegemaran mereka iaitu Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Dolomite Silver Metallic tanpa sebarang kos tambahan.
Rim 20 inci Cayenne S Design yang berwarna Vesuvius Grey memberikan SUV itu penampilan yang lebih mewah dan sporty.
Selain itu, lampu depan LED HD Matrix yang direka semula dengan dua modul definisi tinggi dan lebih 32,000 piksel setiap lampu, memberikan penglihatan yang luas dan keselamatan untuk pemandu dan penumpang.
Untuk kemasan dalaman, Cayenne S E-Hybrid Coupe baharu menawarkan stereng GT Sports dan pakej Sport Chrono dengan jam reka bentuk Porsche disertakan sebagai ciri standard.
Selain itu, SUV mewah tersebut dilengkapi dengan sistem bunyi BOSE® Surround Sound premium, dua pilihan upholsteri kulit kemasan licin dalam warna hitam atau Bordeaux Red dengan lambang Porsche pada kepala tempat duduk hadapan, kawalan iklim empat zon, ioniser kualiti udara dalaman, tempat duduk boleh laras dalam 14 cara dengan pakej memori dan penutup matahari elektrik untuk tingkap sisi belakang.
Sistem bantuan pemandu turut dipertingkatkan dengan ciri teknologi yang mudah seperti Adaptive Cruise Control, ParkAssist termasuk Surround View dan penyepaduan telefon pintar dengan Apple® CarPlay.
Penumpang juga boleh menikmati pengalaman premium dengan prawiring Hiburan Tempat Duduk Belakang.
Sebagai pilihan, dua skrin belakang boleh dipasang dengan mudah untuk hiburan penumpang.
Cayenne S E-Hybrid Coupe baharu itu menggabungkan keperluan dinamik Cayenne S dengan konsep pemanduan progresif Cayenne E-Hybrid.
Dengan enjin turbo V6 3.0-liter yang menghasilkan 260 kW (353 PS), Cayenne S E-Hybrid Coupe mempunyai 36 kW (49 PS) lebih kuasa daripada enjin dalam Cayenne E-Hybrid.
Bersama motor elektrik baharu, ia menghasilkan output sistem sebanyak 382 kW (519 PS). SUV Coupe itu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 263 km/j.
Jarak elektrik sahaja adalah sehingga 90 km (EAER City), sesuai untuk perjalanan harian dalam bandar.
Porsche kini melengkapkan Cayenne S E-Hybrid Coupe dengan suspensi udara adaptif baharu termasuk Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan teknologi dua ruang dan dua injap.
Ini meningkatkan pengalaman pemanduan, menstabilkan kenderaan dan memudahkan pengendalian di jalan raya dan luar jalan berbanding dengan suspensi standard dan model sebelumnya.
Suspensi udara adaptif berkenaan juga meningkatkan ketepatan pemanduan, prestasi dan mengurangkan pergerakan badan dalam situasi pemanduan dinamik, menawarkan perbezaan yang lebih tajam antara mod pemanduan Normal, Sport dan Sport Plus. - DagangNews.com