Produk beg dapur SLP Resources di pasaran Jepun sumbang 65% kepada hasil kumpulan, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Produk beg dapur SLP Resources di pasaran Jepun sumbang 65% kepada hasil kumpulan, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - SLP Resources Bhd mengukuhkan kedudukan pasarannya di Jepun apabila produk beg dapur dan beg sampahnya menyumbang 65% kepada hasil kumpulan.

 

Kenanga Research berkata, selepas tempoh permintaan yang lemah, kumpulan itu kembali bangkit dengan kadar tempahan dari Jepun terus mencatatkan peningkatan.

 

Katanya, pengembalian semula pelanggan Jepun menggariskan pengiktirafan industri terhadap kualiti produk kumpulan itu.

 

"Musim panas di Jepun menyerlahkan kelemahan produk pesaing, membolehkan SLP mendapatkan semula pelanggannya menerusi penawaran produk yang berkualiti dan konsisten," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, potensi pemerolehan dua pelanggan baharu boleh memberikan peluang pertumbuhan ketara untuk SLP.

 

beg dapur

 

Bagaimanapun, kadar penggunaan semasa syarikat, yang meningkat daripada 48% kepada 62%, bermakna kumpulan itu mungkin perlu melabur dalam jentera baharu dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang jika pesanannya terus berkembang.

 

"Yen Jepun yang semakin kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kuasa beli untuk pembeli Jepun, yang berpotensi meningkatkan permintaan.

 

"Berdasarkan pengukuhan Yen berbanding dolar AS sebanyak 5.3% dalam tempoh tiga bulan lalu akan meningkatkan hasil kumpulan sebanyak 3%," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana campuran produk yang focus kepada margin tinggi selain aliran tunai teguh dan kunci kira-kira yang kukuh yang membolehkan pembayaran dividen yang tinggi.

 

Katanya, kedudukannya yang dominan dalam pasaran filem mono serantau, didorong oleh filem MDO-PE yang boleh dikitar semula sepenuhnya sebagai respon kepada permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan pembungkusan yang mampan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.05 sesaham," katanya.- DagangNews.com