Profesional diutamakan dalam lantikan lembaga pengarah GLIC, GLC tetapi ahli politik tidak didiskriminasi - PM | DagangNews Skip to main content

Profesional diutamakan dalam lantikan lembaga pengarah GLIC, GLC tetapi ahli politik tidak didiskriminasi - PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat berdasarkan kelayakan.

 

Perdana Menteri berkata, syarat dan keutamaan pelantikan ahli lembaga pengarah GLIC dan GLC diberikan kepada golongan profesional, namun tidak mendiskriminasi orang politik.

 

Katanya, selain kelayakan lantikan ahli lembaga pengarah juga perlu melalui beberapa proses termasuk semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis.

 

“Namun institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat kepada kewangan tidak diizinkan ahli politik dalam ahli lembaga.

 

“Itu memang tegas dan kita mendukung prinsip yang ditekankan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

 

iktisad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan daripada ahli parlimen semasa Sesi Khas Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto YouTube Anwar Ibrahim

 

 

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC dipilih daripada golongan profesional dari sektor swasta yang berintegriti.

 

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan tidak mengamalkan lantikan dalam kalangan ahli politik atau pegawai kerajaan yang masih bertugas ataupun sudah bersara. - DagangNews.com