KUALA LUMPUR 4 Dis - Sebanyak 13% daripada 477,571 peminjam Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan sepenuhnya pinjaman hutang melebihi RM3.2 bilion, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata peminjam ini dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) yang membantu mereka untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman.
“Selain itu, 51% daripada peserta masih aktif dan menerima bantuan daripada inisiatif ini.
"Tambahan pula, 5% daripada peserta telah menamatkan penyertaan dalam program ini memandangkan mereka telah berkemampuan untuk menyelesaikan hutang mereka tanpa bantuan AKPK,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Judiet Fidlis @ Noraini Idris semasa sesi pertanyaan lisan Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 2006, AKPK telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu menerusi Khidmat Nasihat Kawalselia Kewangan (KNKK) secara percuma.
Antara inisiatif pendidikan kewangan yang dijalankan AKPK termasuk pelaksanaan program pendidikan kewangan merangkumi pengajian tinggi peringkat awam, swasta mahupun komuniti belia yang melibatkan lebih 357,000 peserta golongan belia.
Beliau berkata selain itu, AKPK juga menghasilkan modul berkredit yang telah mendapat akredetasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) sebanyak dua jam kredit pembelajaran.
"Penubuhan kelab kewangan AKPK di pengajian tinggi seluruh Malaysia dengan keahlian melebihi daripada 400 pelajar selain menjalinkan kolaborasi bersama institusi kewangan untuk penganjuran Program Kembara Bijak Wang (KBW) sejak 2019," katanya. - DagangNews.com