KUALA LUMPUR 21 Nov - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan prospek jangka pendek Kawan Food Bhd positif disokong peningkatan perbelanjaan semasa musim perayaan dan pelancaran produk baharu.
Selain itu, firma penyelidikan itu percaya ia juga disokong oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dan harga gandum yang lebih rendah.
"Bagi jangka panjang, kami kekal optimis terhadap prospek masa depan Kawan, disokong permintaan yang kukuh untuk makanan sejuk beku memandangkan keutamaan pengguna yang semakin meningkat untuk kemudahan dan harga yang berpatutan.
"Percanggahan dalam keputusan kami adalah disebabkan terutamanya oleh kos operasi yang lebih rendah daripada jangkaan, memandangkan kecekapan operasi yang lebih baik dan kos bahan mentah yang lebih rendah.
"Oleh itu, kami meningkatkan ramalan pendapatan kami untuk FY24-FY26 sebanyak purata 13% selepas mengurangkan andaian kos operasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) turun 87.5% kepada RM960,000 daripada RM7.69 juta pada suku yang sama tahun lepas (3QFY2023), diheret oleh kerugian pertukaran asing (forex) tidak direalisasi akibat kelemahan dolar AS berbanding ringgit, dan caj cukai yang lebih tinggi.
Kumpulan itu, yang mengeluarkan makanan sejuk beku untuk pasaran domestik dan eksport, merekodkan perbelanjaan cukai pendapatan sebanyak RM3.93 juta untuk 3QFY2024, berbanding hanya RM895,000 pada 3QFY2023, sebagai kadar cukai berkesan bagi suku dalam tinjauan adalah lebih tinggi daripada kadar cukai berkanun disebabkan oleh elaun pelaburan semula yang lebih rendah dan perbelanjaan yang tidak dibenarkan untuk tujuan cukai.
Bagaimanapun, hasil meningkat 12.2% kepada RM88.9 juta daripada RM79.2 juta pada 3QFY2023, disumbangkan terutamanya oleh pasaran eksport, didorong oleh peningkatan permintaan dalam pasaran Eropah dan Amerika Utara.
PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.45 sesaham.- DagangNews.com