Prospek pendapatan Sarawak Oil Palms Bhd diunjur cerah dipacu kos pengeluaran lebih rendah, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan Sarawak Oil Palms Bhd diunjur cerah dipacu kos pengeluaran lebih rendah, kata RHB Investment

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt - Prospek pendapatan Sarawak Oil Palms Bhd diunjur cerah dipacu pertumbuhan buah tandan segar (BTS) yang kukuh dan kos pengeluaran lebih rendah, walaupun diimbangi margin lebih rendah dalam segmen hiliran.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu merekodkan pertumbuhan BTS pada Ogos sebanyak 8% tahun ke tahun (YoY), sejajar dengan andaian firma itu. 

 

Walaupun Miri mengalami hujan lebat sejak sebulan lalu, firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan memberi jaminan bahawa ia telah pulih dan mempunyai kesan minimum terhadap produktiviti pengeluaran sawit.

 

“Walaupun begitu, Sarawak Oil Palms mengekalkan sasaran pertumbuhan BTS tahun kewangan 2024 (FY24) antara 5% hingga 6%, memandangkan pengeluaran puncak bulan September/Oktober lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan sedikit pertumbuhan pengeluaran BTS kami kepada 7% untuk FY24 daripada 8% tetapi meningkatkan pertumbuhan BTS kami untuk FY25 kepada FY26 kepada 6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, persaingan dalam segmen hiliran berkemungkinan akan meningkat.

 

Walaupun terdapat cabaran daripada kenaikan cukai import India ke atas produk ditapis, firma itu berkata, pihak pengurusan kekal berharap untuk prospek yang sama pada separuh kedua 2024 (2H24) didorong oleh penggunaan yang lebih tinggi daripada kedua-dua kilang penapisan dan campuran produk yang lebih baik.

 

“Bagaimanapun, memandangkan penstrukturan semula dasar cukai di Indonesia baru-baru ini yang meluaskan kelebihan pemain hiliran berbanding pemain Malaysia, kami percaya persaingan mungkin bertambah sengit pada 2H24.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan andaian kadar penggunaan kami pada 75% untuk FY24F sehingga FY26 sebagai konservatif tetapi kami menjangkakan penurunan margin daripada 3% kepada 2.5% dan 3.5% kepada 3%," katanya.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment mengunjurkan pendapatan Sarawak Oil Palms bagi FY24 sebanyak 6% tetapi meningkatkan pendapatan FY25 dan FY26, masing-masing meningkat 1% dan 4% selepas proses penyesuaian untuk pertumbuhan pengeluaran BTS, kos pengeluaran dan margin hiliran.

 

Sementara itu, RHB Investment mengekalkan mengekalkan saranan ‘Beli’ dan harga sasaran (TP) RM3.60 sesaham. - DagangNews.com