KUALA LUMPUR 25 Okt - Proton menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Grab Malaysia dalam usaha mengembangkan akses kenderaan bagi pemandu e-hailing, melalui kempen "Saga Power Up for Grab Drivers".
Pengeluar kereta nasional itu berkata, kempen tersebut menyasarkan untuk menawarkan pelbagai faedah kepada pemandu Grab apabila mereka membeli Proton Saga sebagai kenderaan pilihan serta menyokong keperluan yang semakin meningkat dalam industri e-hailing.
MoA tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dan Pengarah Operasi serta Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor.
Proton berkata, kempen yang bermula pada 4 November 2024 itu akan menyediakan pelbagai insentif termasuk rebat tunai dan diskaun perkhidmatan sebanyak 5% bagi dua tahun pertama atau sehingga 40,000 kilometer (km).
Proton Saga, yang terkenal dengan penggunaan bahan api cekap, kos penyelenggaraan rendah, serta ciri keselamatan lengkap seperti sistem brek ABS, sensor parkir, dan skrin sesentuh, merupakan pilihan menarik bagi pemandu yang aktif dalam perkhidmatan e-hailing.
Roslan berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk menyediakan pilihan kendaeraan mampu milik dan berkualiti tinggi kepada pemandu e-hailing.
“Kami berharap inisiatif ini bukan sahaja akan menyokong pemandu tetapi juga akan memperkukuhkan kedudukan Proton dalam industri automotif dan pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rashid pula berkata, kerjasama tersebut menunjukkan komitmen Grab dalam menyediakan peluang pendapatan yang fleksibel kepada rakyat Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja memudahkan akses pemandu kepada kenderaan berkualiti tetapi juga memperluaskan peluang ekonomi dalam sektor digital.
“Selain tawaran dari Proton, pemandu baharu Grab yang membeli Proton Saga juga akan menerima insentif tambahan sehingga RM500,” katanya.- DagangNews.com