Proton positif prospek kenderaan elektrik negara dengan pelancaran e.MAS 7 | DagangNews Skip to main content

Proton positif prospek kenderaan elektrik negara dengan pelancaran e.MAS 7

KUALA LUMPUR 17 Dis - Proton Holdings Bhd yakin momentum yang mendorong ramalan jumlah industri keseluruhan (TIV) bagi jualan 2024 dapat dikekalkan untuk tahun depan. 

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menyatakan, jualan 2024 dijangka mencecah 800,000 unit.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, angka tersebut mungkin melebihi jangkaan berdasarkan keadaan sektor automotif pada masa kini asalkan keadaan ekonomi negara kekal stabil.

 

“Peningkatan gaji dalam kalangan penjawat awam, bersama dengan polisi gaji minimum, dijangka menarik lebih ramai pembeli kenderaan, yang memberi petanda baik untuk sektor automotif. 

 

"Peningkatan gaji ini juga membuka jalan untuk institusi kewangan menyediakan lebih banyak pinjaman,” katanya.

 

Roslan berkata demikian kepada StarBiz di majlis pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertama Proton, e.MAS 7, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

 

proton

 

Proton e.MAS 7 datang dalam varian Prime pada harga RM109,800, manakala varian Premium berharga RM123,800 tidak termasuk insurans. 

 

Pembeli pertama sebanyak 3,000 orang akan mendapat diskaun RM4,000, menjadikan harga masing-masing RM105,800 untuk Prime dan RM119,800 untuk Premium.

 

Tanpa mendedahkan sasaran jualan Proton untuk e.MAS 7, Roslan berkata, kumpulan itu sedang bekerjasama rapat dengan Geely untuk model-model EV akan datang, sambil memberi sokongan kepada agenda neutral karbon kerajaan.

 

Apabila ditanya sama ada model-model seterusnya akan tertumpu kepada segmen yang lebih mampu milik, beliau mengakui bahawa kumpulan itu sedang meneliti harga sebagai faktor utama dalam model-model seterusnya selepas pelancaran e.MAS 7.

 

Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, e.MAS 7 adalah kenderaan sepenuhnya hijau dengan pelepasan karbon sifar, yang selaras dengan komitmen negara terhadap neutral karbon. 

 

Beliau pada masa sama berkata, kumpulan juga telah membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu di Hangzhou Bay, China pada bulan April lalu bagi memperkukuhkan inisiatif EV mereka. 

 

Jelasnya, pusat R&D tersebut mempunyai 60 jurutera tempatan yang bertanggungjawab terhadap rangkaian e-MAS Proton pada masa depan, termasuk e.MAS 7.

 

“Jualan automotif global telah mencapai 92 juta kenderaan tahun lalu dan satu pertiga daripadanya adalah di China. 

 

“Geely telah memberi dorongan yang diperlukan untuk membawa kami ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pasaran eksport,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Geely Auto, Jerry Gan berkata, pusat R&D Proton di China menandakan penyepaduan yang lebih mendalam antara sistem R&D kedua-dua syarikat.

 

“e.MAS 7 adalah bukti kepada kerjasama mendalam antara Proton dan Geely. Lebih 700,000 jam tenaga kerja R&D telah dilaburkan, dengan lebih 100,000 kilometer ujian ketahanan kenderaan tempatan dilaksanakan,” jelasnya.

 

Pada majlis yang sama, DRB-Hicom Bhd turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk menggalakkan peningkatan dan peralihan industri automotif Malaysia dalam projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

 

Perjanjian itu ditandatangani bersama rakan usaha sama DRB-Hicom, Kumpulan Automotif Zhejiang Geely Holding Co Ltd dari China, bertujuan menjadikan AHTV sebagai hab automotif global, dengan fokus kepada pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV) dan komponen automotif berteknologi tinggi.

 

Kerjasama dengan Mida selama dua tahun, akan memberi tumpuan kepada penerokaan potensi kerjasama untuk menggalakkan pelaburan khususnya dalam pembangunan AHTV, dengan matlamat untuk mempertingkatkan pertumbuhan, keupayaan dan daya saing industri automotif Malaysia.

 

Pada masa yang sama, perjanjian dengan MARii bertujuan meneroka kerjasama dalam R&D serta pembangunan bakat sebagai projek strategik global yang menyumbang kepada peningkatan dan perubahan industri automotif Malaysia. - DagangNews.com