KUALA LUMPUR 5 Nov - PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) of RM4.65 terhadap Dayang Enterprise disokong oleh penerimaan kontrak bagi penyelenggaraan Pan Malaysia, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta perkhidmatan hook-up & pentauliahan (HUC).
Firma penyelidikan berkata, kontrak yang dianugerahkan oleh Sarawak Shell Bhd (SSB) / Sabah Shell Petroleum Co. (SSPC) itu dianggarkan bernilai RM1 bilion.
"Kami berpendapat proses bidaan bagi pusingan ini lebih kompetitif berbanding pusingan sebelumnya pada 2018 berikutan ketiadaan keperluan pembida untuk menyediakan kapal sendiri untuk melaksanakan MCM dan HUC.
"Oleh itu, kami menjangkakan jumlah kontrak yang sedikit berbanding pusingan sebelumnya.
"Namun begitu, kami menjangka Dayang akan menerima sekurang-kurangnya dua lagi kontrak serupa kerana rekod prestasinya yang menonjol, kesediaan kemudahan, kewangan dan kapasiti tenaga manusia," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Selain itu, firma tersebut mendapati Pertonas sedang membuka tender pusingan bidaan mengenai pakej kerja penyahtauliahan yang dijangka akan diberikan pada pertengahan 2025/2026.
“Kerja-kerja penyahtauliahan dianggarkan mempunyai margin yang lebih tinggi kerana ia memerlukan kapal khusus dan sebaik-baiknya dilaksanakan pada musim aktiviti rendah.
"Ini akan menjadi satu lagi peluang bagi Dayang untuk menambah buku pesanannya untuk segmen penyelenggaraan bahagian atasnya, selain MCM dan HUC," katanya.- DagangNews.com