PublicInvest semak turun unjuran pendapatan DRB-Hicom sebanyak 20% kesan perbelanjaan operasi tinggi  | DagangNews Skip to main content

PublicInvest semak turun unjuran pendapatan DRB-Hicom sebanyak 20% kesan perbelanjaan operasi tinggi 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menyemak turun unjuran pendapatan DRB-Hicom (DRB) pada FY24 sehingga FY26 sebanyak purata 20%, kesan perbelanjaan operasi lebih tinggi dan prestasi lebih lemah. 

 

Kumpulan itu melaporkan kerugian bersih RM5.3 juta pada 3QFY24, berbanding keuntungan bersih RM70.8 juta pada tempoh yang sama tahun lepas (3QFY23). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerugian bersih itu adalah akibat jualan kenderaan yang lebih lemah dan kerugian derivatif yang lebih tinggi sebanyak RM80 juta. 

 

"Keputusan tersebut sejajar dengan kedua-dua anggaran dan konsensus kami, masing-masing pada 29.5% dan 21.6%,  memandangkan perbelanjaan operasi lebih tinggi dan prestasi lebih lemah di semua bahagian perniagaannya.

 

“Walaupun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menyemak semula unjuran jumlah volum industri (TIV) Malaysia kepada 800,000 unit untuk 2024, kami menjangkakan permintaan yang lebih pada 2025.

 

“Jangkaan rasionalisasi subsidi bahan api, sentimen pengguna yang lebih lemah, dan kekurangan pemangkin untuk sektor automotif mendorong kepada semakan unjuran tersebut.

 

"Selain itu, kemasukan pelancaran model baharu dan penetapan harga yang kompetitif mungkin meningkatkan persaingan pasaran, memerah lagi margin sektor dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Sementara itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM1.10 berbanding RM1.38 sesaham. - DagangNews.com