Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan KL kuasai 83% eksport negara pada Ogos 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan KL kuasai 83% eksport negara pada Ogos 2024 - DOSM

Oleh Mohamad Iman

UALA LUMPUR 27 Sept – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM252.7 bilion pada Ogos 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM129.2 bilion dan RM123.5 bilion, seperti yang dilaporkan hari ini dalam Statistik Eksport Import mengikut negeri Ogos 2024.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport bernilai RM129.2 bilion pada Ogos 2024, meningkat sebanyak RM14.0 bilion (+12.1%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM9.4 bilion), Selangor (+RM1.9 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.4 bilion), Johor (+RM937.0 juta), Terengganu (+RM810.5 juta), Perak (+RM685.3 juta), Kedah (+RM576.7 juta), Sarawak (+RM143.3 juta) dan Kelantan (+RM78.8 juta).

 

 

dosm

 

 

Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di W.P. Labuan sebanyak RM880.1 juta, Sabah (-RM557.6 juta), Pahang (-RM343.9 juta), Negeri Sembilan (-RM120.4 juta), Melaka (-RM30.7 juta) dan Perlis (-RM8.5 juta).

 

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32.9 peratus, diikuti oleh Johor (20.4%), Selangor (17.9%), Sarawak (7.2%) dan W.P. Kuala Lumpur (4.6%).

 

Import

Bagi prestasi import mengikut negeri, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan import pada bulan Ogos 2024 meningkat RM25.6 bilion (+26.2%) berbanding bulan yang sama pada 2023.

 

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5.8 bilion), Pulau Pinang (+RM5.1 bilion), Kedah (+RM4.6 bilion), Selangor (+RM4.3 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM2.7 bilion), Melaka (+RM1.1 bilion), Sabah (+RM908.6 juta), Pahang (+RM564.7 juta), Perak (+RM325.4 juta), W.P. Labuan (+RM129.7 juta), Perlis (+RM74.6 juta), Sarawak (+RM71.1 juta), Terengganu (+RM71.0 juta) dan Kelantan (+RM28.7 juta).

 

Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Negeri Sembilan sebanyak RM211.3 juta. Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.4 peratus, diikuti oleh Johor (21.4%), Pulau Pinang (20.8%), Kedah (8.4%) dan W.P. Kuala Lumpur (7.8%). - DagangNews.com