Rangkaian 5G tunggal DNB secara rasmi ditamatkan oleh Menteri Komunikasi mengikut Akta 588 | DagangNews Skip to main content

Rangkaian 5G tunggal DNB secara rasmi ditamatkan oleh Menteri Komunikasi mengikut Akta 588

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Jan - Menteri Komunikasi secara rasmi menamatkan rangkaian 5G tunggal kepada Digital Nasional Berhad (DNB), berdasarkan kuasa di bawah Seksyen 7 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

 

Arahan baharu, dikenali sebagai Arahan No 4 tahun 2024, bertarikh 31 Disember 2024, memfokuskan pada pelaksanaan model rangkaian dwi 5G, yang akan menggantikan model borong tunggal sebelumnya.

 

Peralihan itu berikutan penilaian pelan penggunaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang telah memilih pemohon yang berjaya untuk model rangkaian dwi.

 

 

"Selaras dengan keputusan MCMC dalam memilih U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian 5G kedua, tertakluk kepada syarat-syarat yag ditetapkan Suruhanjaya bagi penguntukan spektrum, model Rangkaian Borong Tunggal yang sedia ada perlu dipinda.

 

 

MCMC

 

 

MCMC telah diarahkan untuk meneruskan pelaksanaan rangkaian dwi itu, seterusnya membatalkan Arahan No 3 2021 sebelum ini, yang menyaksikan pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai entiti tunggal untuk menggunakan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia.

 

"Oleh yang demikian, YB Menteri Komunikasi telah mengeluarkan suatu Arahan Menteri kepada MCMC di bawah Seksyen 7 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] bagi melaksanakan model dwirangkaian 5G.

 

"Arahan Menteri ini berkuat kuasa pada 31 Disember 2024," menurut notis MCMC.

 

Pengeluaran Arahan Menteri yang baharu ini akan membatalkan Arahan Menteri terdahulu iaitu Ministerial Direction on the Deployment of 5G Infrastructure and Network (Direction N0.3 of 2021) mengenai pelantikan Digital Nasional Berhad sebagai penyedia tunggal yang melaksanakan infrastruktur dan rakaian 5G negara. - DagangNews.com