GEORGETOWN 30 Okt – Syarikat penerbangan kargo terkemuka Malaysia, Raya Airways Sdn. Bhd. (Raya), memperkenalkan laluan baharu antara Pulau Pinang dan Hong Kong SAR dengan penerbangan sulung pada 28 Oktober 2024 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Laluan itu yang juga sebahagian daripada rangkaian penerbangan Asia Pasifik yang dikendalikan oleh Raya melalui perkhidmatan penerbangan tidak berjadual (charter), dikendalikan sebanyak lima penerbangan seminggu.
Selain laluan Pulau Pinang-Hong Kong, Raya juga mengendalikan perkhidmatan penerbangan tidak berjadual antara Kuala Lumpur dan Hong Kong SAR serta Kuala Lumpur dan Singapura untuk DHL.
Pengarah Urusan Kumpulan Raya, Mohamad Najib Ishak berkata, pihaknya berbesar hati atas kepercayaan diberikan oleh DHL dalam menyokong rangkaian mereka yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran.
"Sepanjang 14 tahun kerjasama antara kedua-dua pihak, Raya telah membangunkan infrastruktur operasi yang kukuh untuk menyokong model perniagaan dalam jangka masa yang ditentukan oleh DHL.
"Selain itu, kami juga gembira kerana diberi peluang untuk menyokong pertumbuhan Pulau Pinang sebagai hab kargo udara utama, berikutan kewujudan industri berskala besar dan bertaraf tinggi di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, laluan Pulau Pinang-Hong Kong tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan kukuh daripada Malaysia Airport Holdings Berhad sebagai pengendali lapangan terbang yang menyediakan pengaturan yang kritikal untuk operasi.
"Kami mengucapkan sekalung penghargaan kepada pasukan MAHB di bawah pimpinan Pengarah Urusan, Dato' Mohd Izani Ghani," ujarnya. - DagangNews.com