Saham syarikat pewangi udara, Vanzo dibuka 16.7% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Saham syarikat pewangi udara, Vanzo dibuka 16.7% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Dis - Syarikat pewangi udara, Vanzo Holdings Bhd dibuka 16.7% lebih tinggi daripada tawaran awam permulaan (IPO) ketika membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

 

Saham syarikat itu dibuka pada 17.5 sen, lebih tinggi berbanding harga tawarannya 15 sen sesaham.

 

Berdasarkan modal saham Vanzo yang diperbesarkan sebanyak 466,751,100 saham dan harga IPO sebanyak 15 sen sesaham, jumlah permodalan pasaran syarikat adalah kira-kira RM70 juta.

 

Dengan sejumlah RM14 juta hasil kasar yang diperoleh daripada IPO, Vanzo akan menggunakan 47.2% (RM6.6 juta) daripada hasil untuk membiayai pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasarannya dan 21.4% (RM3 juta) untuk pembayaran balik pinjaman bank .

 

Baki hasil akan digunakan untuk modal kerja, dan untuk membayar perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Melalui anak syarikat syarikat, Vanzo terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pemasaran dan penjualan wangian udara dan produk berkaitan wangian.

 

Pada masa ini, syarikat mempunyai enam kiosk runcit di Malaysia, dengan lima daripadanya terletak di pusat beli-belah yang berbeza di Lembah Klang dan 1 terletak di Kuching, Sarawak. Melangkah ke hadapan, Vanzo berhasrat untuk mengukuhkan kehadiran pasaran Syarikat dengan mengembangkan rangkaian kiosk runcitnya di seluruh Malaysia.

 

Vanzo merancang untuk menubuhkan empat kiosk runcit baharu di wilayah utara, wilayah tengah, atau wilayah selatan Semenanjung Malaysia, dan satu lagi di Malaysia Timur.

 

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas/Pengarah Urusan Vanzo, Allan Wong berkata, sebagai syarikat pewangi udara tempatan terbesar di Malaysia mengikut nilai jualan, pihaknya teruja dengan langkah itu dan yakin dengan pertumbuhan masa depan.

 

Katanya, penyenaraian itu merupakan pencapaian besar, dan pihakya bersedia untuk memulakan lembaran baharu syarikat.

 

“Kami teruja dengan sambutan yang kukuh terhadap IPO kami, yang terlebih langgan. Dengan sokongan ini, kami telah mengumpulkan RM14 juta untuk membantu kumpulan mempergiatkan usaha pemasarannya dan mengembangkan lagi perniagaan 

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat kewangan. - DagangNews.com