KUALA LUMPUR 10 Dis - SaraCarbon Sdn Bhd (SaraCarbon) dianugerahkan lesen karbon pertama di Sarawak yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (FDS), dalam usaha kerajaan negeri menangani perubahan iklim.
Lesen tersebut diserahkan Pengarah FDS, Datu Hamden Mohammad kepada wakil SaraCarbon, Franscois Blignaut dalam satu majlis di Ibu Pejabat FDS di Kuching, Sarawak, semalam.
Terdahulu, SaraCarbon anak syarikat Samling Group, muncul peneraju dalam inisiatif karbon hutan di Sarawak apabila menjadi syarikat pertama di negeri ini yang menerima permit kajian karbon hutan, yang dianugerahkan semasa Persidangan Karbon Asia 2023.
Projek pertama syarikat itu iaitu Projek Pemuliharaan dan Pemulihan Hutan Marudi di Miri, merupakan rumusan berasaskan alam yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sambil memupuk pengurusan hutan yang mampan.
"Dengan mematuhi piawaian antarabangsa termasuk Verra, SaraCarbon berhasrat untuk menghasilkan kredit karbon berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global, serta menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar sambil menyediakan manfaat ekonomi.
"Ia selaras dengan objektif strategik Sarawak untuk memanfaatkan perdagangan karbon sebagai sektor ekonomi yang berdaya maju," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Inisiatif berkenaan adalah bukti pendekatan progresif Sarawak dalam menangani perubahan iklim melalui dasar yang inovatif dan rangka kerja yang boleh dilaksanakan.
Projek-projek SaraCarbon menyerlahkan potensi untuk memanfaatkan sumber semula jadi secara bertanggungjawab, memastikan manfaat jangka panjang untuk alam sekitar dan komuniti tempatan. - DagangNews.com