KUALA LUMPUR 17 Jan - Pengeluar produk makanan laut beku, SBH Marine Holdings Bhd (SBH), memperoleh tanah industri kosong seluas 2.92 hektar di Pulau Pinang dengan harga RM18.9 juta, bagi membangunkan pejabat korporat baharu mereka.
SBH berkata, tanah tersebut diperoleh melalui lelongan awam.
"Tanah ini terletak di Seberang Perai Tengah di sepanjang Jalan Perindustrian Bukit Minyak 18, sejajar dengan Lebuhraya Utara-Selatan.
"Ia adalah tanah pegangan pajakan dengan baki tempoh 47 tahun yang akan tamat pada 7 Mei 2072. Mengikut syarat lelongan, tanah ini perlu dibangunkan dengan bangunan kilang yang diluluskan dalam tempoh dua tahun selepas pemindahan hak milik," demikian menurut kenyataan yang dibuat syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia, semalam.
Tanah berkenaan sebelum ini dimiliki oleh Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuatan makanan dalam tin dan diproses.
SBH merancang untuk membiayai pemerolehan itu menggunakan dana dalaman dan pinjaman bank.
Pada penutupan pasaran semalam, saham SBH meningkat dua sen atau 8.16% kepada 26.5 sen, memberi syarikat tersebut permodalan pasaran sebanyak RM235.32 juta. - DagangNews.com