SC dan Khazanah jalin MoU memangkin akses MTC ke pasaran modal, jumlah permulaan sebanyak RM500 juta | DagangNews Skip to main content

SC dan Khazanah jalin MoU memangkin akses MTC ke pasaran modal, jumlah permulaan sebanyak RM500 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melalui Dana Impak untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan menyesuaikan pasaran modal untuk syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) bagi merangsang pertumbuhan dan pengembangan.

 

MoU itu menyokong pelan hala tuju perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan MTC SC iaitu Memangkin Akses MSME dan MTC ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028).


 
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi memberi penghargaan kepada komitmen Khazanah dalam menyokong pertumbuhan dan pengembangan MTC. 

 

"Kami menghargai sokongan Khazanah terhadap Pelan Hala Tuju PMKS dan MTC serta matlamat jangka panjang SC untuk memastikan ekosistem pengumpul dana pasaran modal yang lebih inklusif dan holistik.

 

“MTC merupakan penyedia peluang pekerjaan domestik yang penting dan penyumbang kepada ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagaimanapun ujarnya, MTC telah dikenal pasti sebagai 'missing middle’, kerana sering menghadapi kesukaran mengakses pembiayaan untuk pertumbuhan. 

 

"MoU ini akan menangani cabaran sedemikian untuk memastikan pertumbuhan dan daya tahan yang mampan," jelas beliau.


 
MTC merangkumi kurang daripada 2% firma di Malaysia, tetapi menyumbang 36% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan 16% kepada peluang pekerjaan. 

 

Ini menjadikan mereka pemacu penting kepada ekonomi Malaysia serta berpotensi menjadi sumber permintaan pasaran modal. 

 

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya komited untuk memperkasakan syarikat Malaysia dan MTC dengan menyediakan peluang yang diperlukan untuk berjaya.

 

Khazanah, melalui Dana Impak yang merupakan tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia, telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta dana permulaan untuk menyediakan pembiayaan kepada MTC. 

 

Pembiayaan itu akan disalurkan kepada MTC yang berpotensi tinggi melalui pasaran persendirian, sama ada ekuiti persendirian atau dana kredit persendirian, memastikan akses yang lebih besar kepada modal. 

 

"Satu daripada tunjang utama rangka kerja Khazanah iaitu A Nation that Creates, ialah memacu industri dan bakat yang bersedia untuk masa hadapan, dengan tumpuan kepada transformasi firma pelbagai saiz bagi meningkatkan penciptaan nilai, sambil memperkukuh produktiviti negara dan daya saing di peringkat global. 

 

"Objektifnya juga adalah untuk menubuhkan syarikat Malaysia yang terus mencipta dan berinovasi, dengan momentum pertumbuhan dan daya tahan ekonomi yang berterusan. Kami berharap kerjasama dengan SC ini dapat menyokong MTC supaya berada pada kedudukan yang  kukuh untuk memberi sumbangan besar kepada negara," katanya.

 

MoU itu akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah untuk menyokong fasa pertumbuhan dan inovasi MTC akan datang dan inisiatif bersama untuk meningkatkan kesedaran dan akses mereka kepada pasaran modal termasuk inkubasi pengumpulan dana untuk sebanyak 60-100 MTC untuk meningkatkan kesediaan pasaran modal serta program pembinaan kapasiti khusus untuk meningkatkan daya saing dan kapasiti inovatif.

 

Di bawah MOU berkenaan, Khazanah juga akan melaksanakan program pembinaan kapasiti  dengan rakan kongsi utama seperti SC untuk memacu peningkatan produktiviti dan membuka peluang baharu dalam perniagaan, inovasi dan pembiayaan termasuk penyelesaian pembiayaan berasaskan pasaran. - DagangNews.com