Semakan semula levi keuntungan luar biasa dalam Belanjawan 2025 diramal tingkatkan pendapatan pengusaha sawit - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Semakan semula levi keuntungan luar biasa dalam Belanjawan 2025 diramal tingkatkan pendapatan pengusaha sawit - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan semakan semula ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) dalam Belanjawan 2025 akan meningkatkan pendapatan pengusaha kelapa sawit. 

 

Katanya, semakan itu dilakukan disebabkan kenaikan mendadak dalam kos unit pengeluaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini kesan kejatuhan hasil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengusaha sawit ketika ini membayar WPL sebanyak 3% untuk keluaran buah tandan segar (atau lebih kurang bersamaa dengan 15% WPL daripada keluaran minyak sawit mentah (MSM)) apabila harga MSM melebihi RM3,000 bagi setiap tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 bagi setiap tan di Sabah dan Sarawak.

 

"Ambang harga MSM semasa dianggap terlalu rendah oleh penanam untuk dianggap sebagai keuntungan luar biasa.

 

"Jika ini menjadi kenyataan, terdapat 0.2% hingga 3.9% penjimatan WPL untuk pendapatan FY25 pengusaha berdasarkan ramalan purata harga jualan (ASP) MSM kami sebanyak RM3,700 bagi setiap tan pada tahun hadapan.

 

"Akan berlaku penjimatan yang lebih tinggi sekiranya harga MSM melonjak pada 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, pengusaha sawit tidak akan dikenakan WPL sekiranya ambang harga MSM dinaikkan kepada RM4,000, RM4,500 dan RM5,000 pada tahun hadapan.

 

Katanya, pengusaha dengan kos seunit pengeluaran yang tinggi, dan/atau mereka yang mempunyai pendedahan operasi yang lebih tinggi di Malaysia (terutamanya di Semenanjung Malaysia) seperti Tabung Haji Plantations, SD Guthrie dan Genting Plantations berpeluang mendapat manfaat lebih daripada rakan setaranya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, kenaikan gaji minimum akan memberi kesan negatif terhadap pendapatan pengusaha dan sejak beberapa bulan lalu, terdapat ura-ura kemungkinan gaju minimum baharu berada antara RM1,700 hingga RM2,000 sebulan.   

 

Dengan mengandaikan gaji minimum baharu sebanyak RM1,700, firma penyelidikan menganggarkan terdapat -0.8% hingga 4.0% impak keuntungan kepada ramalan pendapatan FY25 untuk pengusaha. - DagangNews.com