KUALA LUMPUR 25 Okt - Senoko Energy Pte Ltd, satu daripada syarikat tenaga terbesar Singapura, dan Gentari Sdn Bhd, anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani memorandum persefahaman untuk meneroka secara kolaboratif pengimportan gas hidrogen dari Malaysia ke Singapura.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak menyatakan mereka akan menilai kebolehlaksanaan import ini, dengan rancangan untuk menyepadukan hidrogen ke dalam aset turbin gas kitaran gabungan sedia ada dan baharu Senoko Energy, meningkatkan kecekapan dan prestasi alam sekitar mereka.
Gentari, penyedia penyelesaian tenaga bersih, akan membekalkan hidrogen melalui perjanjian bekalan selama 20 tahun, dijangka bermula menjelang 2029.
“Melalui kerjasama ini, Senoko Energy menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 18,000 tCO2e (tan bersamaan karbon dioksida) setiap tahun dalam fasa pertama, yang bersamaan dengan mengambil kira-kira 4,000 kereta dari jalan raya,” kata kenyataan itu.
Pengurangan ini berpotensi meningkat kepada 535,000 tCO2e dalam fasa berikutnya, bersamaan dengan 119,000 kereta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Senoko Energy Frederik Baerts berkata perkongsian dengan Gentari menandakan pencapaian penting dalam komitmen syarikat untuk memajukan peralihan tenaga.
"Hidrogen mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon, dan bersama-sama kami mengambil langkah berani ke arah mewujudkan landskap tenaga yang lebih mampan dan masa depan rendah karbon," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert menekankan bahawa perkongsian itu merupakan langkah penting dalam membina tulang belakang hidrogen untuk Asia Tenggara.
Menurutnya, infrastruktur rentas sempadan seperti saluran paip ini menghubungkan pusat pengeluaran dan permintaan sambil kami mempercepatkan penggunaan hidrogen hijau di seluruh rantau ini.
"Gentari amat percaya hidrogen adalah penting untuk menyahkarbonkan pelbagai sektor dalam laluan ke sifar bersih, dan kami digalakkan oleh sokongan pihak berkepentingan dan peningkatan permintaan untuk derivatif hidrogen karbon rendah," katanya. - DagangNews.com