KUALA LUMPUR 2 Jan - Sern Kou Resources Bhd (SKRB) menerusi anak syarikat sepenuhnya, SK Sustainable Forestry Development Sdn Bhd (SKSFD) menerima tawaran bernilai RM3.64 juta daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) untuk projek pembangunan hutan di daerah Chiku, Kelantan.
Dua kawasan tanah hutan yang masing-masing berkeluasan 98 hektar dan 302 hektar itu, terletak di Hutan Simpan Lebir.
Menerusi projek selama 50 tahun tersebut, SKSFD berhasrat menanam pokok yang boleh dipasarkan, termasuk Eucalyptus, untuk tujuan komersial.
Kayu balak yang diperoleh akan digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan kayu seperti kayu lapis (plywood) dan kotak karton.
Jumlah pembayaran bagi plot 98 hektar adalah RM898,390, dengan bayaran awal sebanyak RM30,245 perlu dibayar dalam tempoh 30 hari dan bakinya dibayar dalam tempoh 90 hari.
Bagi plot 302 hektar, jumlah pembayaran adalah RM2.74 juta, dengan bayaran awal sebanyak RM81,755 yang perlu dibayar dalam tempoh 30 hari dan baki dibayar dalam tempoh 90 hari.
Bayaran-bayaran itu dibuat mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh JPNK.
Inisiatif pembangunan hutan lestari berkenaan adalah sebahagian daripada strategi SKRB untuk memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan bagi segmen pemprosesan kayu, perdagangan dan pembuatan perabotnya.
Projek tersebut dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman dan dijangka tidak memberi kesan segera terhadap aset bersih, pendapatan atau tahap hutang syarikat untuk tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025. - DagangNews.com